Wednesday, October 27, 2010

NBF XV

“ Sakit lagi?” Ari mengangguk perlahan. Mukanya merah seperti udang kena bakar. Tangan Sid masih berlengkar pada buku lalinya. Cuba mengurut kaki yang dikatakan terseliuh oleh Zarin itu. Selepas itu dengan cermat Sid membalut kakinya dengan bandage. Hantu punya Zarin. Kutuk Ari dalam hati. Dalam banyak-banyak alasan, kenapa boleh dikatakan dia terseliuh kerana terjatuh tangga? Mendengar kata-kata Zarin itu, tidak sampai setengah jam, Sid sudah berada di sini. Dan kini dia terpaksa berlagak seperti pesakit.
            “ Jatuh tinggi ke? Sebab tak rasa benjol atau bengkak pun?” Ari pejam mata. Ya ALLAH...tolonglah pengsankan dia sebentar. Dia sudah tidak tahu mana hendak diletakkan mukanya. Zarin di belakang, menekup mulut dan terus berlari ke dalam tandas.
            “ Tak tinggi sangat. Tapi masa jatuh tu memang rasa sakit betul,” dan seperti seorang profesional, lancar sahaja lidahnya menipu.
            “ Abang bawak pergi kliniklah. Baik scan nak tahu sama ada teruk ke tidak ni,” Sid memberi cadangan. Ari pantas menolak. Nak mati pergi klinik? Dia sudah dapat membayangkan bagaimana blurnya nanti wajah doktor itu apabila memeriksa kakinya yang sihat walafiat.
            “ Tak apa. Sikit aje ni. Esok lusa baiklah tu. Abang pergilah balik. Ari tak apa-apa.” Cepat sahaja dia menghalau Sid pulang kerana sudah tidak sabar mahu terjun dari katil ini. Dia mengenangkan kembali detik-detik lakonan yang mampu menganugerahkan mereka oscar pelakon wanita terbaik.
            Sebaik sahaja mengetahui apa yang dilakukan oleh Zarin, dia terasa mahu pitam. Nalurinya mengarahkan agar dia pergi dari situ sebelum Sid tiba ke sini. Namun dalam sedang berkira-kira itu, loceng pintu kedengaran. Ari dan Zarin masing-masing buntang biji mata. Dan seolah-olah telah dirancang, Ari lari berdesup dan menjatuhkan dirinya di kaki tangga. Sebentara Zarin pula dengan muka yang dibuat-buat cemas berlari mendapatkan abangnya.
            “ Ari main tolak-tolak atas tangga dengan Yin sebab tak nak cakap dengan abang ke?” soal Sid masih tak berpuas hati dengan penjelasan Ari dan Zarin sendiri. Ari semakin menundukkan wajahnya. Ari...pengsan sekarang. Pengsan sekarang. Buat-buat pitam. Hatinya mengesa, kerana tidak mampu lagi menanggung rasa bersalah itu. Wajah redup Sid membuatkan dia mahu menangis di situ juga. Jangan ambil berat tentang Ari. Biarkan Ari sendiri. Segenap tubuh melaung ayat itu bertalu-talu namun Sid masih tetap setia di sisi. Akhirnya, air matanya gugur juga. Rasa bersalah semakin menghimpit dirinya.
            “ Jomlah. Abang bawak pergi klinik,” putus Sid yang menyangka Ari menangis kerana sakit. Tanpa menunggu respon Ari, dia terus mencempung isterinya itu. Ari tergamam. Dia meronta-ronta sehingga Sid sendiri hampir terlepas pegangannya. Ari berdiri dengan menjengketkan sebelah kaki.
            “ Ari boleh jalan sendiri.” Sid mengangguk. Dia memanggil Zarin. Zarin muncul dan seperti Ari, Zarin juga tidak berani mengangkat wajahnya.
            “ Siaplah. Kita pergi klinik.” Zarin mengangguk dengan muka penuh kerutan. Segera dia mendapatkan Ari. Sebelum keluar, Sid berpaling semula ke arah mereka.
            “ Masa siap tu, fikir-fikirlah kaki mana yang sebenarnya sakit. Doktor mesti nak tahu nanti,” balasnya sambil merenung kaki Ari. Kedua mereka pantas menunduk melihat ke bawah dan kaku seperti dipanah petir. Ari yang dikatakan terseliuh kakinya itu dengan selamba berdiri dengan kaki yang berbalut sakit itu di lantai. Sedangkan kaki yang sihat terangkat sedikit. Sid hanya tersenyum sinis.

4 comments:

  1. lawak la..haha.nk menipu tp da kantoi.huhu

    ReplyDelete
  2. Noor..kelakar ek..actually ini sambungan yang depa tgh main sahibba tu..hahahha

    ReplyDelete
  3. tau yg ni smbungannye.patot la ari cm terkejut sgt mse tu.rpenye zarin bg alasan die terjatuh.haha

    ReplyDelete
  4. zarin mmg mengarut je lebih..hahahah

    ReplyDelete