Sunday, October 31, 2010

NBF ~ New Entry

“ Hajah Arisa?” seseorang memanggil namanya. Langkahnya terhenti. Dia melihat Haji Adnan Taufik memanggil namanya. Pertama kali mendengar dirinya dipanggil hajah memang membuatkan dia malu. Umrah pun belum ditunaikan, apatahlagi menunaikan haji sehingga memungkinkan dirinya dipanggil dengan gelaran seperti itu. Namun menurut kak Alia, semua jemaah walaupun sudah atau belum menunaikan haji akan dipanggil dengan gelaran seperti itu. Walaupun pada mulanya dia berasa janggal, namun akhirnya dia dapat menerimanya. Tetapi, dia juga tahu lelaki ini sudah bergelar haji yang sebenarnya. Tak sangka pula, rupa-rupanya lelaki yang sepatutnya menjadi mahramnya ini, suami kak Alia.
“ Seorang saja?” dia mengangguk. Dia cuba melihat rasa kurang senang lelaki itu apabila dia berjalan sendirian malam-malam buta begini namun riak wajah Taufik tenang saja.
“ Kak Alia balik dulu. Sarah tak tahan mengantuk,” terangnya lagi cuba membuang rasa bersalah yang mengigit tangkai hati.
“ Silalah..” Taufik mempelawanya. Ari pantas menggeleng. Walaupun dia tahu niat lelaki itu baik mahu mengiringinya pulang, namun tetap dirasakan kurang manis. Entah mengapa, dia berasakan maruah Sid perlu dijaga.
“ Tak apalah. Saya tunggu suami. Dah janji nak jumpa dia kat sini,” lancar saja mulutnya menipu. Taufik masih tersenyum.
“ Iya? Tapi Sid dah balik dah sejam lepas.” Ari rasa mahu pitam. Dia sudah tidak mahu mana hendak diletakkan mukanya ini.
“ Memang niat dia nak iktikaf malam ni tapi dia mengadu tak sihat tadi. Mungkin dia terlupa nak mesej kot,” Taufik cepat-cepat menyelamatkan keadaan apabila melihat Ari sudah tidak tentu arah apabila mendengar Sid sudah pulang ke bilik.
“ Ha’ah..mungkin dia ada mesej, tapi saya yang tak bawa handset. Lagipun pengawal kat sini leceh. Semua nak diperiksanya,” Ari membuat alasan. Bohong sunat sekali-skala tidak mengapakan? Walaupun pengawal jemaah wanita memang benar akan memeriksa setiap jemaah, kalau-kalau membawa masuk telefon ataupun kamera, namun dia tahu handsetnya diseludup di dalam poket seluarnya ini tidak akan adanya mesej daripada Sid. Taufik hanya mengangguk. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya. Entah mengapa rasa bersalahnya semakin bertimpa-timpa. Dapat dirasakan lelaki ini tahu apa yang sedang difikirkannya.
“ Kalau nak balik, marilah,” pelawa Taufik lagi. Perlahan-lahan kakinya melangkah menuruti langkah lelaki itu.






Ari tersentak dari lena yang panjang. Jam loceng yang berbunyi segera dimatikan bunyi alarmnya. Sudah pukul 3.15 pagi. Subuh akan masuk tak lama lagi. Walaupun baru sejam dapat melelapkan mata, namun itu sudah cukup baginya. Di sini, semua jemaah berlumba-lumba mahu beribadat. Kalau mahu mementingkan tidur dan rehat, lebih baik tidak perlu ke sini. Dia menoleh ke kanan dan melihat Sid masih lagi berbungkus dengan selimut. Dahinya berkerut. Selalunya Sid orang pertama yang bangun antara mereka. Namun, ketika bunyi mengaji lantang kedengaran, Sid masih tidak sedar lagi. Dia teringatkan kata-kata Taufik semalam. Sid pulang awal kerana tidak sihat. Dadanya berdegup tiba-tiba. Sid sakitkah?
“ Abang?” panggilnya perlahan. Namun tubuhnya masih kaku di tilam sendiri. Dia tidak berani melangkau sempadan antara mereka. Tiada sahutan. Dia mencuba sekali lagi dan seperti tadi, Sid langsung tidak bergerak.
“ Abang, subuh nak masuk ni. Nak pergi masjid tak?” Ari bangun menjengah Sid yang berbaring membelakanginya. Dia gelisah sendiri. Dia tidak tahu bagaimana mahu menangani keadaan seperti ini. Dia melangkah setapak. Dua tapak. Tiga tapak hingga akhirnya dia berdiri di tepi katil Sid. Dengan tangan sedikit menggigil, dia menyentuh dahi Sid. Sedikit panas. Jadi, memang betulkan kata Taufik semalam. Sid memang betul tidak sihat.
Ari diam seketika memikirkan tindakan selanjutnya. Memikirkan dia mempunyai cool fever yang dibawanya, lantas dia mendapatkan beg pakaian. Pouch bag yang penuh dengan segala bekalan ubat-ubatan dikeluarkan. Cool fever dicapai. Dengan penuh cermat dia meletakkan cool fever itu di dahi Sid. Walaupun benda sejuk itu diletakkan Sid masih tidak jaga. Ari sudah tidak tahu mahu berbuat apa. Dia memerhatikan wajah Sid. Tanpa sedar dia melabuhkan tubuh di atas katil.
“ Ari minta maaf. Kalau abang sedih dengan apa yang Ari cakap, Ari betul-betul minta maaf. Tapi...abang juga lukakan hati Ari dengan apa yang abang lakukan dengan...” kata-katanya mati. Dia menarik nafas. Tidak mahu mengingati peristiwa yang memisahkan mereka itu.
“ Ari minta maaf,” bisiknya sekali lagi sebelum berlalu ke bilik air. Sebaik sahaja Ari menutup pintu, mata Sid terbuka. Dia termenung seketika memikirkan apa yang diluahkan oleh Ari sebentar tadi. Ari tidak sedar, kerana mungkin Ari menyangkakan dia lena tidur. Tetapi, dia mendengar...segala-galanya. Ari...sampai bila kejadian itu akan terus menjadi penghalang? Apabila mendengar pintu bilik air dibuka, dia kembali menutup mata. Sekali lagi dia berpura-pura lena.


Wednesday, October 27, 2010

NBF XV

“ Sakit lagi?” Ari mengangguk perlahan. Mukanya merah seperti udang kena bakar. Tangan Sid masih berlengkar pada buku lalinya. Cuba mengurut kaki yang dikatakan terseliuh oleh Zarin itu. Selepas itu dengan cermat Sid membalut kakinya dengan bandage. Hantu punya Zarin. Kutuk Ari dalam hati. Dalam banyak-banyak alasan, kenapa boleh dikatakan dia terseliuh kerana terjatuh tangga? Mendengar kata-kata Zarin itu, tidak sampai setengah jam, Sid sudah berada di sini. Dan kini dia terpaksa berlagak seperti pesakit.
            “ Jatuh tinggi ke? Sebab tak rasa benjol atau bengkak pun?” Ari pejam mata. Ya ALLAH...tolonglah pengsankan dia sebentar. Dia sudah tidak tahu mana hendak diletakkan mukanya. Zarin di belakang, menekup mulut dan terus berlari ke dalam tandas.
            “ Tak tinggi sangat. Tapi masa jatuh tu memang rasa sakit betul,” dan seperti seorang profesional, lancar sahaja lidahnya menipu.
            “ Abang bawak pergi kliniklah. Baik scan nak tahu sama ada teruk ke tidak ni,” Sid memberi cadangan. Ari pantas menolak. Nak mati pergi klinik? Dia sudah dapat membayangkan bagaimana blurnya nanti wajah doktor itu apabila memeriksa kakinya yang sihat walafiat.
            “ Tak apa. Sikit aje ni. Esok lusa baiklah tu. Abang pergilah balik. Ari tak apa-apa.” Cepat sahaja dia menghalau Sid pulang kerana sudah tidak sabar mahu terjun dari katil ini. Dia mengenangkan kembali detik-detik lakonan yang mampu menganugerahkan mereka oscar pelakon wanita terbaik.
            Sebaik sahaja mengetahui apa yang dilakukan oleh Zarin, dia terasa mahu pitam. Nalurinya mengarahkan agar dia pergi dari situ sebelum Sid tiba ke sini. Namun dalam sedang berkira-kira itu, loceng pintu kedengaran. Ari dan Zarin masing-masing buntang biji mata. Dan seolah-olah telah dirancang, Ari lari berdesup dan menjatuhkan dirinya di kaki tangga. Sebentara Zarin pula dengan muka yang dibuat-buat cemas berlari mendapatkan abangnya.
            “ Ari main tolak-tolak atas tangga dengan Yin sebab tak nak cakap dengan abang ke?” soal Sid masih tak berpuas hati dengan penjelasan Ari dan Zarin sendiri. Ari semakin menundukkan wajahnya. Ari...pengsan sekarang. Pengsan sekarang. Buat-buat pitam. Hatinya mengesa, kerana tidak mampu lagi menanggung rasa bersalah itu. Wajah redup Sid membuatkan dia mahu menangis di situ juga. Jangan ambil berat tentang Ari. Biarkan Ari sendiri. Segenap tubuh melaung ayat itu bertalu-talu namun Sid masih tetap setia di sisi. Akhirnya, air matanya gugur juga. Rasa bersalah semakin menghimpit dirinya.
            “ Jomlah. Abang bawak pergi klinik,” putus Sid yang menyangka Ari menangis kerana sakit. Tanpa menunggu respon Ari, dia terus mencempung isterinya itu. Ari tergamam. Dia meronta-ronta sehingga Sid sendiri hampir terlepas pegangannya. Ari berdiri dengan menjengketkan sebelah kaki.
            “ Ari boleh jalan sendiri.” Sid mengangguk. Dia memanggil Zarin. Zarin muncul dan seperti Ari, Zarin juga tidak berani mengangkat wajahnya.
            “ Siaplah. Kita pergi klinik.” Zarin mengangguk dengan muka penuh kerutan. Segera dia mendapatkan Ari. Sebelum keluar, Sid berpaling semula ke arah mereka.
            “ Masa siap tu, fikir-fikirlah kaki mana yang sebenarnya sakit. Doktor mesti nak tahu nanti,” balasnya sambil merenung kaki Ari. Kedua mereka pantas menunduk melihat ke bawah dan kaku seperti dipanah petir. Ari yang dikatakan terseliuh kakinya itu dengan selamba berdiri dengan kaki yang berbalut sakit itu di lantai. Sedangkan kaki yang sihat terangkat sedikit. Sid hanya tersenyum sinis.

Monday, October 25, 2010

NBF XIV

Sid merebahkan tubuh ke atas tilam. Sebaik sahaja tubuhnya melekap pada tilam empuk itu, dia mengeluh lega. Letihnya dia hanya ALLAH sahaja yang tahu. Ketika ini dia hanya mahu melelapkan mata. Namun suara Ari membantutkan hasratnya.
What are you doing?” soal Ari terperanjat besar. Semasa Sid masuk ke sini sebentar tadi, dia tidak mengesyaki apa-apa. Dia berasa itu perkara biasa kerana sebelum tidur, Sdi akan menjenguknya terlebih dahulu. Tetapi apabila Sid dengan selamba sahaja berbaring di sebelahnya, tidak dapat tidak, tentulah dia berasa cuak. Kenapa Sid di sini?
“ Kita kena kongsi bilik. Semua balik, jadi bilik kosong dah tak ada,” Sid menjawab tanpa membuka mata. Dia tidak mahu bertengkar malam ini. Dia begitu memerlukan tidurnya. Kalau Ari tidak dapat menerima, itu bukan masalahnya.
“ Tak boleh ke kongsi dengan orang lain? Kenapa nak datang sini jugak?” Ari ternyata tidak puas hati. Macam mana dia mampu tidur lena mengenangkan Sid di sisi? Sid ketawa perlahan, namun matanya tetap terpejam.
“ Kenapa nak kongsi dengan orang lain? Ini bilik abang. Ari tahukan?” Ari terdiam. Ya..dia tahu dia menggunakan bilik Sid. Dan selama ini dia yang menguasai ruang yang sederhana besar ini. Sid lebih selesa tidur di bilik abangnya, namun apabila kesemuanya pulang, masakan masih mahu berkongsi bilik dengan abangnya yang sudah berkahwin itu. Dia bangun dari duduknya. Tidak selesa dia sekatil dengan Sid begitu. Manalah hendak dia melepak sementara menunggu Sid tidur. Bilik ini bukannya ada sofa panjang yang boleh dia tidur. Jadi, mahu tak mahu dia duduk di meja kerja Sid. Akhirnya Sid membuka mata.
“ Berhenti buat perangai macam budak-budak Ari. Abang nak tidur. Letih sangat ni. Jangan harap abang nak tidur atas lantai semata-mata Ari tak suka tidur sebelah abang. Abang nak tidur saja ok?” Kata Sid sambil merenungnya tajam. Ari sudah serba salah. Nampak sangatkah air mukanya mahu menyuruh Sid tidur di atas lantai sahaja?
“ Ari tak ngantuk lagi. Nak baca ni kejap,” jawabnya sambil menunjukkan buku di dalam tangannya. Buku yang baru dicapai dari meja Sid. Sid mendengus seketika, namun dia tidak berkata apa-apa. Nasiblah. Dia kembali melabuhkan tubuh. Dalam beberapa saat, dia sudah terlena. Ari terkedu. Macam mana Sid boleh nyenyak tidur sepantas itu? Dia melihat buku yang dicapainya sebentar tadi. Sekali lagi matanya buntang apabila membaca tajuk buku tersebut. Tonggak 12. Patutlah Sid mendengus sebentar tadi. Apa halnya dia mahu membaca buku yang membosankan itu? Dia bukannya mahu menduduki ujian PTK.
Ari menguap. Dia sudah mengantuk sebenarnya, namun egonya begitu tinggi. Dia tidak mahu mengalah kepada Sid. Dia bangun mengambil buku sketch yang dilukisnya tadi. Dan untuk beberapa jam kemudian, dia tekun melukis. Sid terjaga tengah malam itu. Dia terus bangun apabila berasakan di sebelahnya masih lagi kosong. Ari belum tidurkah? Dia mengeluh perlahan apabila melihat Ari tidur dalam keadaan duduk. Dengan pensil masih ditangan, dia melihat Ari tersenguk-senguk.
Sid bangun. Rasa mengantuknya langsung hilang. Mata jadi segar menyenangkan kedegilan Ari. Dia hanya mampu menggeleng apabila melihat lukisan Ari yang sudah tak ada rupa orang langsung. Sekejap bergaris ke kiri. Sekejap ke kanan. Atas dan bawah. Lukisan potrait yang bertukar abstrak pula. Nampak sangat Ari mengantuk namun tetap tidak mahu mengalah. Dia mengambil pensil dari tangan Ari dan diletakkan di atas meja. Dia tunduk mahu mengangkat Ari ke katil apabila matanya menangkap sehelai kertas yang bertangkup, dan tercerai dari buku sketch tersebut.
Sid mengambil kertas itu dan hatinya berasa rawan tiba-tiba. Dia merenung wajah Ari yang begitu nyenyak tidurnya dibalik keadaan yang tidak selesa itu. Ari melukis wajahnya! Dia merenung potrait itu lagi. Terdapat beberapa kesan basah di atas kertas tersebut. Sid menyentuhkan perlahan. Air mata! Saat itu runtuh segala pertahanan perasaannya. Dia tunduk merenung wajah Ari dengan penuh rasa kesal. Dia masih ingat apa yang pernah dikatakan Ari kepadanya dahulu. “Ari tak pernah menangis sebelum ni. Tapi sejak Ari jumpa abang, Ari tak boleh berhenti menangis? Kenapa ya?”

Wednesday, October 20, 2010

NBF XIII

 Ari berpaut pada dinding. Tubuhnya begitu lemah untuk melangkah. Kakinya pula seperti agar-agar. Dia tidak mampu berdiri. Apatahlagi mahu melangkah pergi dari situ. Ya ALLAH! Inikah takdir yang tersurat buat aku? Inikah jawapan yang dinanti-nantikannya? Ari cuba menarik nafas. Dadanya terasa begitu ketat dan sakit hanya mahu melakukan perkara mudah itu. Dia cuba kuatkan semangat. Kakinya melangkah namun ternyata...dia gagal. Dia jatuh di situ juga. Entah mengapa dirasakan segala tulang temulangnya begitu rapuh. Ya ALLAH...bantulah aku. Permudahkan aku hadapi semua ini. Dia cuba bangun sekali lagi...namun setiap kali mencuba..dia gagal. Dirinya tidak ubah seperti orang lumpuh sahaja. Ari sedaya upaya menahan tangis, cuba mengutip sisa kekuatan diri yang sudah mula goyah. Aku tidak akan menangis. Aku tidak boleh menangis. Tekadnya berkali-kali, cuba menguatkan benteng pertahanan hati.
            Lorong fakulti itu kosong. Lebih baik begini. Biarlah dia menghadapi malu ini sendirian. Dia tidak tahu bagaimana hendak menghadapi situasi ini jika ada mata yang memandang. Ari menekup mukanya. Kalau mengalah pada kehendak hati, agaknya sudah banjir dirinya kerana menangis. Namun dia tidak akan mengalah semudah itu, Dia tidak akan memberi izin kepada mereka semua melihat kelemahannya. Dia tidak akan membiarkan mereka menang semudah itu. Dia harus membuktikan tanpa mereka ini, dia juga mampu bahagia.
Dan dia sama sekali tidak akan memerlukan mereka yang membuang dirinya. Ari memandang keadaan sekelilingnya. Dia sudah tidak tahu hendak ke mana lagi. Dia tidak tahu mahu bergantung harap kepada sesiapa lagi. Sesungguhnya dia buntu. Benar-benar buntu. Tiba-tiba ada seseorang cuba memapahnya. Ari tersentak dan cuba melepaskan diri namun dia terpegun apabila mendongak dan melihat wajah lelaki itu.
Lelaki yang menegurnya di taman semasa dia menunggu. Adakah lelaki ini menyaksikan segala perlakuannya sebentar tadi? Ari malu. Dia benar malu kerana ada mata yang menyaksikan saat runtuhnya pertahanan jiwa perempuan sepertinya. Dia tidak memberi reaksi apabila lelaki itu tunduk memandangnya.
            It’s ok...It’s ok. Saya ada,” ujar lelaki itu berkali-kali memujuknya. Dengan bantuan Sid, dia mampu berdiri semula. Lalu dalam kepayahan dan dibantu Sid, mereka keluar dari tempat itu.

Tuesday, October 12, 2010

NBF XII

Ari duduk di atas tilam. Tubuhnya menggigil menahan amarah yang menyelubungi hatinya ketika ini. Dia tidak menyangka dia akan diperdaya seperti ini. Apabila dia bersetuju dengan permintaan Sid untuk menentukan rumah mana yang akan didudukinya, dia tidak pernah sama sekali menyangka rumah yang dimaksudkan adalah rumah Sid sendiri. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa terkejutnya tadi apabila Sid memperkenalkan dia kepada ibu dan adiknya.
Dia tidak tahu riak wajah mereka itu namun perasaannya yang hendak mengamuk ke Sid terhenti apabila tiba-tiba ibu Sid menariknya ke dalam pelukan. Dan adik Sid pula begitu selamba memanggilnya kakcik. Ari memegang dadanya yang terasa sakit tiba-tiba. Kak chik. Kak chik. Bukankah dia pernah mengimpikan gelaran itu untuknya? Tetapi Sid yang memusnahkan impiannya. Sid memusnahkan segala-galanya.
“ Ari..?” Sid memanggil dari muka pintu.
“ Pergi!” balasnya dengan kebencian yang membuak-buak. Kalaulah dia boleh melihat ketika ini. Kalaulah dia tidak buta saat ini, sudah lama dia akan meninggalkan tempat ini. Dia tidak akan tinggal buat sesaat pun.
“ Ari, rehatlah dulu. Lepas zuhur nanti, kita mula rakam keterangan Ari, ok?” balas Sid tidak mempedulikan nada Ari yang semacam itu.
“ Ari benci abang. Sampai mati pun Ari akan benci abang,” sahut Ari sambil mencampakkan begnya. Dia tidak peduli apabila mendengar bunyi benda jatuh akibat balingannya itu. Sid tidak bersuara. Dia cuma tunduk mengangkat lampu tidur yang sudah pecah berderai. Tanpa suara dia membersihkan segala kesan sehingga bersih dan tidak akan mendatang bahaya kepada Ari lagi.
“ Ari boleh bergerak bebas dalam bilik ni. Jangan takut terlanggar apa-apa sebab semua perabot abang dah tolak ke tepi. Kalau nak ke bilik air, dari tempat Ari duduk tu, Ari langkah sepuluh tapak, Ari akan sampai ke bilik air. Nanti setiap kali waktu solat, kalau bukan abang, adik atau ibu akan tolong tunjukkan arah kiblat. Kalau perlukan bantuan, Ari tekan jam ni,” jelasnya sambil menyarungkan jam yang diletakkan satu button kecemasan untuk Ari. Ari melarikan tangannya. Jam tersebut juga menerima nasib yang sama seperti begnya. Sid diam dan masih tetap tidak menegur tindakannya.
“ Abang keluar dulu. Ari rehatlah.” Sid melangkah keluar bilik. Sebelum menutup pintu dia menoleh ke belakang sekali lagi.
“ Tak apa kalau Ari bencikan abang. Kasih dan sayang abang pada Ari, cukup untuk kita berdua,” sahutnya sebelum menutup pintu.
“ Abang cik?” Zarin menegur abangnya. Dia yang hendak turun ke bawah sedikit terkejut melihat abangnya masih berdiri di luar pintu bilik Ari. Wajah abangnya begitu keruh. Dahinya pula disandarkan pada pintu bilik itu. Zarin serba salah. Dirasakan dia sedang menceroboh privasi abangnya itu. Sid tidak menjawab. Dia tidak mendengar Zarin memanggil sebenarnya. Jiwanya merusuh mengenangkan Ari yang berada di seberang sana. Tangisan Ari menusuk hati dan perasaannya. Jiwanya bertambah rawan. Kalau mahu diikutkan rasa hati, dia mahu masuk sahaja dan cuba menenangkan Ari yang kesedihan. Namun, walaubagaimana dia berharap sekalipun, dia tahu Ari tidak akan mahu dia berada di situ. Ari benar-benar membencinya. Sid melangkah memasuki biliknya di sebelah. Dia melintas di hadapan Zarin, namun dia tidak melihat adiknya di situ. Zarin memandang pintu yang tertutup rapat itu. Tidak pernah dia melihat wajah abangnya seperti ini.
“ Abang cik,” keluhnya lagi.

Monday, October 11, 2010

NBF XI


            “ Yin nak terus duduk sini boleh tak?” Dengan wajah yang tidak berapa malu, Zarin menyoal. Malam itu aktiviti mereka dihabiskan dengan bermain Sahibba. Dan dia ketinggalan 45 markah di belakang Ari.
            “ Ok je. Kakcik lagi suka. Ada kawan. Tak adalah rasa sunyi sangat kat sini,” jawab Ari tanpa mengangkat muka. Dia sedang memikirkan ayat apa yang boleh dibentuk dengan huruf I, Y, D, S dan A itu. Kamus Dewan edisi ke 4 dibelek-belek teliti.
            “ Mana aci tengok kamus, kakcik. Patutlah markah dia tinggi betul.” Zarin merampas kamus berwarna merah gelap itu.
            “ Kakcik rasa ibu bagi tak?”
            “ Tanyalah ibu sendiri. Tanya kakcik buat apa? Tadi ibu datang kenapa tak tanya terus?” Ari masih selamba. Dia sebenarnya langsung tidak menumpukan perhatian pada soalan yang diajukan kepadanya. Ayat YIS adakan dalam bahasa Melayu?
            “ Yin telefon sekarang ek?” Ari mengangguk tanpa jawapan. Kamus dibuka. Yeah..memang ada...6 markah. Ari semakin seronok menambah mata. Dia membiarkan sahaja Zarin bercakap dengan ibunya sebelum Zarin menyerahkan telefon bimbit itu kepadanya. Ari mendongak. Matanya berkerut memandang Zarin, menyoal kenapa.
            “ Kakcik tolong cakap. Nanti kalau Yin yang minta, mesti ibu tak bagi. Cakap je apa yang Yin cakap tadi,” ajar Zarin sambil menolak papan shahibba itu ke tepi. Dia merapatkan jarak antara mereka. Telinga turut diletakkan sekali pada corong telefon itu.  
            “ Assalamualaikum ibu. Ari ni.” Dia memperkenalkan diri. Namun insan di sebelah sana hanya mendiamkan diri sahaja. Malah salamnya juga tidak bersambut. Ari pelik. Dia menutup speaker.
            “ Yin dail tak nombor ni? Kenapa senyap je?”
            “ Adalah tadi ada orang angkat. Yin tak sempat cakap lagi terus bagi kakcik...kakcik cakap ajelah...kuat sikit. Tak dengar tu kot...”
            “ Tak ada oranglah...”            Ari mempertahankan pendapatnya pula. Sid di seberang sana hanya mendengar kedua mereka berbalah sesama sendiri. Dia menggeleng perlahan. Apabila kedua mereka berhelo-helo tak henti-henti, dia bersuara. Dan secara automatik talian terputus. Ari memandang sahaja telefon yang tercampak jauh itu. Terkejut dia apabila tiba-tiba suara dalam Sid tiba-tiba kedengaran di corong speaker.
            “ Yin telefon ibu ke telefon siapa?” soalnya dengan nada tak puas hati. Tiba-tiba sahaja dia terasa hendak demam. “ Abang ni,” hanya itu sahaja yang diucapkan Sid tadi.
            “ Manalah Yin tahu abang chik yang angkat,” Yin mempertahankan tindakannya.
            “ Habis tu kenapa bagi phone pada kakcik?” Zarin angkat bahu. Sudah berapa kali dia hendak beritahu, dia melancarkan mogok untuk tidak bercakap dengan abangnya itu. Dalam mereka diam itu, telefon itu berbunyi. Zarin separuh merangkak mencapai telefon tersebut dan diserahkan kepada Ari.
            “ Mesti abang cik call balik. Kakcik cakap dengan dia.” Zarin mahu lepas tangan. Ari terus sahaja menjauhkan diri. Dia menggeleng laju.
            “ Gila! Kakcik nak cakap apa?” telefon yang sudah diam itu berbunyi kembali. Ari melarikan diri ke dapur. Dia malas mahu melayan Zarin dan lebih-lebih lagi dipaksa bercakap dengan Sid. Apa yang hendak dicakapkan? Mati hidup balik pun Sid tidak akan izinkan Zarin tinggal bersamanya. Beberapa minit kemudian, Zarin menuruti langkahnya. Wajah Zarin kelihatan takut-takut sahaja. Ari memerhati rapat. Macam ada sesuatu saja Zarin ni?
            “ Yin dah cakap dengan abang chik. Dia nak datang sini!” Ari terkedu? Datang sini? Buat apa? Kenapa perlu datang? Tak bolehkah cakap ya ataupun tidak sahaja melalui telefon itu?
            “ Kakcik...Yin mungkin ada tercakap something dengan abang cik,” Ari semakin kelam. Apa yang berlaku sebenarnya ni?

Thursday, October 7, 2010

NBF X

Sid berasa sesuatu yang lain sewaktu dia melangkah masuk ke rumah. Yang pasti tv yang selalunya terpasang ketika dia pulang, hanya terdiam bisu. Suara Zarin yang selalunya riuh rendah itu juga tidak kedengaran. Dia tidak terus naik ke bilik, sebaliknya hanya melabuhkan tubuhnya di ruang tamu itu. Remote dicapai dan suasana yang sunyi sepi berubah suasana. Mendengar bunyi suara di tv, puan Aishah keluar dari dapur. Dia merenung anak lelakinya itu sebelum bersuara.
            “ Nak makan tak? Ibu panaskan lauk?” soalnya selamba. Rutin komunikasi mereka terhad kepada perkara asas sahaja. Sid sedar semenjak dua menjak ini, ibunya itu sudah hilang mesranya. Mungkin marahnya masih bersisa kerana melepaskan Ari pergi. Ya...kerana Ari, semua orang tidak mahu bercakap dengannya lagi.
            “ Kejap lagilah,” jawabnya malas. Sedikit terluka dengan sikap yang ditunjukkan oleh ibu sendiri.
            “ Yin mana? Tak balik lagi ke? Ibu pulak dari mana ni?” soalnya bertubi-tubi apabila melihat pakaian ibunya. Tudung di kepala pun masih tersarung lagi. Ke mana ibu pergi? Dan ke mana pula Zarin?
            “ Yin lepak rumah Ari sampai ahad ni. Ibu pun dari sana jugaklah tadi.” Mata Sid buntang tiba-tiba. Dia terbangun dari pembaringan. Wajah ibu yang sedang merenungnya dipandang sekilas sebelum dia melarikan mata.
            “ Dia datang sini?” soal Sid seperti tiada apa yang berlaku. Seolah-olah sudah biasa benar berita Zarin tidur di rumah Ari itu didengarinya.
            “ Ari jemput Yin kat ofis dia. Ibu bila dengar Ari telefon, terus capai kunci pergi sana sekali,” terangnya tiba-tiba mahu beramah mesra dengan si anak yang sudah berubah air mukanya. Namun wajah itu kosong tanpa riak. Sukar dia mahu membaca apa yang sedang difkirkan oleh Sid ketika itu.  
            “ Dia...sihat?” Puan Aishah hampir melompat keseronokan apabila mendengar pertanyaan yang langsung tidak diduga itu. Dia yakin Sid bukan bertanyakan khabar Zarin. Oleh kerana tidak mahu membiarkan Sid menganggapnya buang tebiat, jadi dia hanya bertenang.
            “ Kenapa tak call tanya sendiri?” Sid diam. Dia tiada jawapan untuk soalan itu.
            “ Ari sihat. Ibu tengok dia ceria je tadi. Mungkin dia dah teruskan hidup dia. Lupakan apa yang dah berlaku,” jawab Puan Aishah sambil memerhati rapat sebarang perubahan pada wajah anak lelakinya itu. Sengaja dia berkata begitu. Dan mudah-mudahan dengan maklumat baru yang diberikan akan membuatkan Sid pergi mencari Ari.    
            “ Pergilah telefon dia. Takpun terus pergi sana je,” cadang puan Aishah masih tetap dengan wajah selambanya. Sid tidak menjawab. Sebenarnya dia langsung tidak mendengar apa yang dikatakan oleh ibunya itu. Fikirannya melayang entah ke mana sebaik sahaja mendengar nama Ari dari mulut ibunya. Benarkah Ari sudah melupakan apa yang telah berlaku? Dia sukar mahu percaya, namun wajah ibunya begitu meyakinkan sekali. Entah mengapa, dadanya seperti tertusuk sembilu mendengar khabar Ari begitu ceria. Bagaimana Ari begitu ceria sedangkan dia...sedangkan dia....hendak menarik nafas sahaja pun sudah terasa sakitnya. Bagaimana Ari boleh teruskan hidup dengan ceria sedangkan dia, menderita di sini? ALLAHUAKBAR. Sid meraup wajah. Dengan langkah yang cukup lemah, dia berlalu ke bilik. Yang pasti, hatinya berasa sungguh sepi.

Tuesday, October 5, 2010

NBF IX

“ Dahlah..jangan nangis. Nanti orang kata saya yang buat Yin menangis,” pujuk Fauzan menghulurkan sehelai sapu tangan buat Zarin. Dia memandang kawasan permainan yang luas itu. Beberapa orang kanak-kanak riang sahaja bermain, dan dia pula terpaksa memujuk kanak-kanak manja di hadapannya ini. Bayangkanlah sewaktu mahu menjemput Zarin pulang dari tempat kerjanya, gadis itu sudah pun merah muka dan matanya.
            “ Yin benci dengan abang chik,” adu Zarin sambil mengesat muka dengan lengan baju kurungnya. Sapu tangan yang diberikan Fauzan itu diramas-ramas geram seolah-olah dia membayangkan sapu tangan itu adalah abang chiknya. Mulut Fauzan melopong. Begini kisahnya. Marahkan Sid rupanya. Fuh! Lega...nasib baik bukan dia yang menjadi puncanya. Dia sendiri sudah tenggelam timbul tidak ketahuan punca. Zarin menangis tanpa henti. Sudahlah dari tadi beberapa mata kerap memandang ke arah mereka. Fauzan memandang sekilas ke arah wanita-wanita yang menemani anak-anak mereka bermain itu. Kalau semata-mata pandang saja tak apalah..ini dengan bibir terjuih, dan tangan menunjuk-nunjuk lagi.
Tak boleh jadi ni. Silap-silap, orang menuduh dia cuba rosakkan anak dara orang pula. Tolong sikit! Fauzan mencebik. Tempat dating dia dengan Zarin hanya ada dua tempat sahaja. Kalau tak di taman permainan ini, tentulah satu lagi tempatnya di rumah Zarin sendiri. Taman ini pun jaraknya 500 meter sahaja dari rumah Zarin. Hmmm.... nak tak nak dia terpaksa terima. Itu syarat yang dikenakan oleh Sid kalau mahu keluar dengan Zarin. Fauzan tersengih memikirkan amaran Sid itu. Yang Sid buat hubungan rahsia dengan anak dara orang tu tak apa pula. Semua orang tak kata apa pun. Kutuknya di dalam hati. Tak berani hendak cakap depan muka Sid. Takut Sid reject permohonannya awal-awal lagi. Tak ke naya tu.
“ Sid buat apa?” Zarin tidak menjawab. Sebaliknya dia terus menangis dan menangis. Fauzan garu kepala. Sid! Apahal dengan adik kau ni?





            “ Wei, kau datang sini sekarang,” balas Fauzan sebaik sahaja menjawab salam yang dihulurkan.
            “ Apasal?” Sid membetulkan tubuhnya yang lenguh. Tangannya sempat menjeling jam di tangan. Maghrib nak dekat dah ni. Kenapa Fauzan masih tak hantar Zarin pulang?
            “ Zarin. Aku dah panik ni. Menangis je dari tadi. Kau dah buat apa dengan dia, Sid? Aku nak ajak dia balik, dia tak nak. Dia kata nak lari dari rumah. Gila apa Zarin ni? Naik risau aku. Kalau nak lari, pergilah jauh-jauh. Perlis ke? Sarawak ke? Colombia ke? Ni nak lari, tapi duduknya kat sini,” balasnya sempat mengutuk kekasih hati sendiri.
Sid diam mencerna maklumat. Seketika kemudian keluhnya bertambah panjang. Dia tidak salahkan Fauzan. Sebelum Fauzan, Zarin sudah buat gila dulu di rumah ini. Pendek kata, semenjak dia menghantar Ari pulang ke rumahnya, ibu dan Zarin langsung tidak mahu bercakap dengannya lagi. Masuk hari ini, sudah seminggu anak-beranak itu sepakat mahu memboikot dirinya. Dan kini, berjangkit pula pada Fauzan. Sid tersenyum sendiri. Dia bangun dan mencapai kunci motor. Haru Jan..makwe sendiri tak reti nak handle. Kutuknya dalam hati. Seketika kemudian dia menarik balik kutukan itu. Dia juga tidak mampu menangani kisahnya sendiri. Jadi mana mungkin, dia mahu menyalahkan temannya itu.
Tak sampai seminit, dia sudah tiba di taman permainan itu. Fauzan sudah tersengih 12 inci sebaik sahaja melihat kelibatnya. Sid menggeleng apabila melihat wajah Zarin. Ini memang species tak makan saman punya budak ni. Nak merajuk pun, tunggulah lepas masuk waktu solat dulu. Dia terus melabuhkan tubuh di sebelah Zarin. Fauzan hanya bersandar di badan keretanya. Zarin yang menyedari abangnya ada di sisi semakin mencuka wajahnya.
“ Dengar cerita kata nak lari?” Sid bergurau memulakan bicara. Bahu Zarin diraih dan ditarik ke sisinya. Namun sekelip mata Zarin menolak tangannya.
“ Yin tak nak cakap dengan abang chik,” Zarin berpaling muka.
“ Sampai bila tak nak bercakap dengan abang chik ni?” Sid terus memujuk seolah-olah bercakap dengan budak berusia 5 tahun sahaja gayanya.
“ Selagi abang chik tak bawak kak Ari balik. Yin tak akan cakap dengan abang chik sampai bila-bila pun,”
“ Berapa kali nak cakap. Dia yang nak pergi. Bukan abang yang halau dia. Takkan nak ikat kaki tangan dia?” Sid mempertahankan diri. Berang kerana dituduh bukan-bukan. Salah diakah lagi apabila Ari yang mahu pergi? Kenapa semuanya macam tak faham apa yang sedang berlaku dalam hidup mereka?
“ Tapi abang chik langsung tak cuba halang. Abang chik langsung tak berusaha nak tahan kak Ari dari pergi. Abang chik biar kak Ari pergi macam tu aje,” Zarin pula mempertahankan pendapatnya.
“ Dahlah..jom balik. Dah maghrib dah ni,” Sid beralah. Dia tidak mahu memanjangkan cerita. Dia penat mahu menerangkan apa-apa pun sedangkan orang tidak pernah mahu memahami kenapa dia melepaskan Ari pergi. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa beratnya hati terpaksa berkata-kata seperti itu dahulu. Betapa pedihnya hati apabila dia terpaksa menghantar Ari pergi. Semua itu bukan mudah untuk dilakukannya. Tetapi semua orang tidak faham. Semua orang hanya tahu menyalahkan dirinya sahaja.
“ Jomlah balik,” pujuknya lagi. Zarin tetap kaku. Dia buat tidak tahu sahaja apabila merasakan pandangan tajam Sid mula fokus pada wajahnya. Sid berdiri. Dia sudah malas untuk memujuk lagi.
“ Balik Zarin!” ajaknya lagi. Kali ini dengan nada yang lebih tegas. Nada yang tidak menunjukkan sebarang kompromi. Nada yang dia tahu Zarin tidak akan berani melawan apabila dia bersuara seperti itu. Zarin bangun perlahan-lahan. Hajat hati untuk melarikan diri sememangnya tidak kesampaian. Dia menjeling ke arah Fauzan yang kelihatan serba salah sahaja dari tadi. Tanpa berkata apa-apa, dia melangkah laju meninggalkan mereka berdua. Sid mengeluh panjang. Dia menghampiri Fauzan yang sedang melihat Zarin berjalan pulang.
“ Bila kau nak pinang adik aku ni? Selesai satu problem. Merajuk tak habis-habis budak tu,” Sid turut sama memandang adiknya. Dalam rasa marah, hendak ketawa pun ada mengenangkan telatah Zarin.

Monday, October 4, 2010

NBF VIII

“ Cik Arissa, saya Dr. Izzudin. Cik Arisa tahu bagaimana cik Arisa boleh jadi begini? Cik Arisa ingat apa yang berlaku?” lembut sahaja Dr. Izzuddin berbicara dengannya. Ari yang sedikit panik kembali tenang. Genggaman erat jururawat pada jemarinya ternyata membuatkan hatinya menjadi lebih lapang.
“ Saya rasa saya terlibat dalam kemalangan. Ada seseorang langgar saya dari belakang,” jelasnya cuba mengingati apa sebenarnya yang berlaku. Dr. Izzudin berpandangan dengan jururawatnya seketika. Itu rasanya bukan apa yang diceritakan oleh ASP Ziyad Sidqi kepada mereka. Namun buat masa ini, dia hanya membiarkan sahaja Ari dengan jawapannya itu.
“ Ok..biar saya terangkan apa yang berlaku ya. Cik Arisa mengalami luka yang agak dalam di bahagian kanan pelipis Cik Arisa. Luka itu juga begitu dekat dengan mata Cik Arisa,” Dr. Izzudin menjelaskan.
“ Buat masa sekarang, kedua belah mata Cik Arisa tidak dapat bertindak balas pada cahaya,” tambahnya lagi. Ari tersentap seketika.
“ Sa..saya tak faham,” soalnya dengan penuh kebimbangan. Rasa paniknya kembali mengunung. Sentuhan yang tadinya menenangkan perasaannya sudah tidak mampu berbuat demikian lagi.
“ Jangan bimbang Cik Arisa. Ia mungkin kesan sementara sahaja. Tisu yang bengkak juga antara penyebab mata Cik Arisa kurang bertindak balas dengan cahaya. Kita terpaksa menunggu dalam sehari dua untuk pastikan edema yang bengkak itu kembali surut,” terang Dr Izzudin memerhati rapat perubahan emosi yang terdapat pada wajah pesakitnya.
“ Untuk pastikan apa? Ari semakin bimbang. Suaranya juga semakin meninggi. rasa takut usah dicakap ketika ini. Tiba-tiba dia terkenangkan Sid. Entah dari mana datangnya ingatan itu, namun dia amat mengharapkan Sid berada di sampingnya ketika ini. Dr. Izzudin mengeluh perlahan.
“ Cik Arisa buta sekarang ini. Tapi, kalau saya tak silap, saya yakin bahawa kesan ini hanya sementara sahaja. Kami dapati kepala cik Arisa terhantuk dengan suatu objek yang keras. Kayu mungkin, kalau tak silap saya. Dan ia menyebabkan cik Arisa jadi begini.” Buta! Ari terpaku. Nafasnya terasa sesak tiba-tiba apabila mendengat perkataan buta itu. Tangannya menyentuh balutan yang terdapat pada matanya. Tidak!
“ Tenang Cik Arisa. Jangan panik,” pujuk Dr. Izzudin sambil menarik tangannya menjauhi balutan matanya itu. 
“ Kita ada 48 jam untuk saya selidik, menilai dan pastikan keadaan cik sama ada kekal ataupun sementara,” jelasnya lagi. Suaranya begitu lembut dan tenang. Seperti bercakap dengan budak kecil sahaja gayanya. Sementara gelengan kepala Ari bertambah laju.
“ Tidak! Saya tak boleh buta. Saya tak boleh buta. Tolonglah saya. Buatlah sesuatu agar saya boleh lihat semula. Saya tak boleh buta. Macam mana saya nak hidup kalau saya buta,” Ari mengenggam tangan jururawat tersebut. Hanya ALLAH sahaja yang tahu bagaimana takutnya dia dengan keadaan itu.
Macam mana kalau dia buta selama-lamanya? Bagaimana dia hendak menghadapi hidup ini..meneruskan kehidupan ini sendirian, sedangkan dia tidak boleh melihat lagi? Dia teringatkan ayahnya. Mak Leha, Nisa dan semua insan yang rapat dengannya satu ketika dulu. Sebutir air matanya jatuh ketika ingatannya jatuh kepada seseorang. Sid! Abang, Ari dah tak nampak,” adunya di dalam hati. Ari menekup wajah. Dia benar-benar sedih ketika ini.

Sunday, October 3, 2010

NBFVII

Lebuh raya Persekutuan

            “ Siapa dia, Sid? Arisa Nur Adalia,” bibir Fauzan menyebut nama yang indah itu.
            “ Siapa dia pada kau?” soalnya lagi.
“ Kau masih nak rahsiakan dari aku?” dia masih tidak berputus asa. Sid mengeluh perlahan. Runsing kepala memikirkan apa yang perlu diterangkan kepada sahabat baiknya sendiri. Sesungguhnya Fauzan tidak tahu. Fauzan tidak pernah tahu apa yang berlaku dulu. Kisah yang terjadi antara mereka, tidak ada sesiapa pun yang tahu, kecuali dia dan....
            “ Sid? Kau diam macam ni tak akan selesai masalah,” pujuk Fauzan lagi. Dia menolah ke kanan. Wajah yang begitu kosong itu, bagaimana boleh memandu dengan tenang? Dia sudah menawarkan diri untuk memandu, namun Sid berkeras mahu dia yang memandu ke Shah Alam.
            “ Ni mesti hal 3 tahun lepaskan?” Sid pejam mata. 3 tahun. 3 tahun. Kenapa semuanya mahu bertanya apa yang berlaku 3 tahun dahulu. Kalau pagi tadi dia tertanya-tanya mengapa Jan tidak pernah mahu bertanya, kini dia mendapat jawapannya pula. Jadi, Jan juga tahu perubahan yang melanda dirinya semenjak 3 tahun lalu. Semalam ibu. Hari ini Jan pula. Ketara benarkah perubahan pada dirinya?
Selepas ini entah siapa pula yang akan bertanya kepadanya. Sid memberi signal ke kiri sebelum meneruskan perjalanan ke rumah Jane...Arisa....bukan....Ari. Jiwanya menyebut nama itu. Adakah selama ini dia berjiran dengan Ari? Macam mana mereka tidak pernah bertemu? Begitu dekat...tetapi mereka tetap jauh. Ari...begitu jauh kau pergi, namun aku tetap menanti.
            “ Jan...tolong aku?” soalnya tanpa memandang wajah yang setia menanti di sisi. Melalui ekor mata, dia tahu Fauzan mengangguk sedikit.
            “ Tolong jangan tanya apa-apa. Jangan tanya aku, siapa dia sebenarnya,” rintihnya perlahan. Penuh kekesalan. Sarat dengan penderitaan.
            “ Sid...!” Sid menekan brek. Tanpa berkata sepatah pun, dia keluar dari kereta itu. jan menurut. Mereka sudah tiba. Beberapa saat setelah menekan loceng, pintu pagar terbuka. Mereka melangkah masuk, namun Jan dapat merasakan langkah Sid begitu perlahan dan berat. Mungkin mengharapkan dia tidak berada di situ. Seorang perempuan separuh umur menyambut mereka. Sid segera memberi salam dan memperkenalkan diri mereka.
            “ Tan Sri ada di atas, nanti saya panggilkan. Masuklah dulu,” pelawa Mak Leha sambil membuka pintu kayu itu lebar-lebar. Mereka masuk namun hanya menunggu di muka pintu sahaja. Walaupun dipelawa duduk, namun Sid menolak. Jan yang baru hendak melabuhkan punggung, berdiri kembali. Beberapa minit kemudian, Tan Sri Zain Johari menuruni anak tangga.
            “ ASP Ziyad Sidqi? Dektektif Fauzan? Siapa yang bercakap dengan saya tadi?” soalnya sambil berjabat tangan dengan keduanya. Sid merenung lelaki di hadapannya ini. Untuk kali pertama dia bertentang mata dengan lelaki ini, walaupun sudah tidak terhitung banyaknya melihat lelaki ini di kaca televisyen dan di dada akhbar.
            “ Saya yang telefon Tan Sri tadi,” Sid mengaku.   
            “ Sebelum tu, kami nak pastikan sama ada Tan Sri mengenali Arisa Nur Adalia?” mendengar nama itu, mata lelaki itu buntang. Terkejut kerana tiba-tiba sahaja pegawai polis ini bertanyakan mengenai anaknya. Ada sesuatukah yang berlaku kepada anaknya itu? Tan Sri Zan Johari sedikit panik. Kedatangan mereka ini, pasti membawa satu tujuan. Tujuan yang mengkhabarkan berita buruk mengenai Ari.
            “ Jadi, memang benar Arisa anak Tan Sri?” Sid membuat kesimpulan setelah memerhati rapat riak wajah di hadapannya ini.    
            “ Kenapa dengan Ari?”
            “ Minta maaf Tan Sri, kami membawa berita kurang baik sedikit.....” sambungnya lagi.