Friday, February 18, 2011

BAKAL TERBIT MAC NANTI - HATI BERGETAR RINDU





BLURB

Hidup itu adalah rangkaian perjuangan demi perjuangan. Maka janganlah ada yang menyerah, berputus asa dan menganggap perjuangan hidup adalah satu yang sia-sia. Tetaplah tegar meski yang lain berguguran. Tetaplah tersenyum meskipun perjuangan ini terasa pahit dan berliku.Kerana DIA tidak akan mensia-siakan perjuangan kita.

Ari ~ Bersamamu aku memahami makna bahagia. Tetapi mengenalimu juga membawa aku ke lembah derita. Sesungguhnya tiada insan yang mahu dikhianati. Lebih-lebih lagi oleh insan yang paling dipercayai.

Sid ~ Segala jerih perih yang kita lalui, semoga ada senyum di esok hari…percayalah...kita semua hanya mahu bahagia.  Percayalah bahawa...kebenaran hanya mampu dilihat oleh mata hati Dan Ari, yakinlah bahawa...ALLAH sudah memilih yang terbaik buat kita. 

Ini kisah mereka yang mencari kebahagiaan. Kisah mereka yang terbeban dengan dosa silam. Kisah mereka yang mencari keampunan. Kisah mereka yang mahu mencari jalan pulang. Kisah mereka yang harus mengerti dan memahami apa ertinya makna sebuah perjuangan.

Thursday, February 17, 2011

Last note dr Ari utk Sid

Abang...
Ari minta maaf atas apa yang berlaku dalam hidup kita. Atas apa yang telah Ari lakukan. Atas segala kata-kata dan perbuatan Ari yang telah melukakan hati abang. Ari minta maaf. Minta maaf sebab Ari tak mampu katakan semua ni di depan abang sendiri. Apa yang abang katakan dulu memang betul. Ari ni memang suka pentingkan diri sendiri. Ari tak pernah kira dengan perasaan orang lain lebih-lebih dengan perasaan abang yang dah terlalu banyak bersabar dengan sikap Ari selama ni. Abang, hari ini Ari terpaksa bertindak sendiri lagi.
Abang... maafkan Ari sebab Ari tak pandai menjadi isteri yang baik. Maafkan Ari sebab hidup abang jadi tak sempurna kerana memilih Ari sebagai isteri. Isteri yang baik seharusnya berada di sisi suami walau macam mana sekalipun badai yang menimpa. Isteri yang taat, sepatutnya mengenali hati budi suaminya. Isteri yang kuat seharusnya sabar bersama suami menghadapi dugaan. Isteri yang indah pekertinya tidak akan melakukan apa yang Ari telah lakukan.
Ari rasa bahagia kerana setiap kali Ari bersedih, abang tak jemu-jemu menenangkan perasaan Ari. Ari benar-benar rasa bahagia kerana mengenali abang dalam hidup Ari. Biarpun hanya seketika, Ari memang betul rasa bahagia. Terima kasih, abang. Ari harap Ari dapat katakan semua ini di depan abang sendiri. Ari harap abang dapat mendengarnya daripada mulut Ari sendiri. Bukannya dengan cara begini. Tapi... Ari tahu... Ari takkan ada peluang untuk berterus terang lagi.
Abang... untuk kali penghabisan... maafkan Ari kerana terpaksa melakukan semua ini. Ari tak boleh biarkan dia terus mengganggu hidup kita. Ari tak boleh biarkan dia terus mempermainkan kita macam ni sekali. Ari tak boleh biarkan perkara ini, abang. Tidak, bila dia mengugut nak membunuh Esya. Dan Ari tak akan diamkan diri bila dia ugut nak membunuh abang. Ari tak akan benarkan sesiapa pun ugut keluarga Ari macam tu.
Abang... semalam bila abang tanya adakah Ari percayakan abang... abang dah dengar jawapan Ari. Ari percayakan abang. Tapi, Ari terpaksa membelakangkan abang dalam perkara ini. Bukan niat Ari nak selesaikan perkara ni tanpa abang. Bukan niat Ari nak menyusahkan abang, tapi ini perjuangan Ari. Perjuangan Ari untuk menyelamatkan insan yang Ari sayang. Abang dah terlalu banyak berkorban untuk Ari. Untuk kali ini, izinkan Ari buat sesuatu untuk abang pula. Abang... kalau selepas ni kita tak ada peluang berjumpa lagi... ampunkan semua dosa Ari. Halalkan makan minum Ari selama ini. Jangan marahkan Ari kerana melakukan perkara ini. Tolong jangan simpan marah abang lama-lama pada Ari. Ari sedih sangat bila abang marahkan Ari. Abang... Ari sayangkan abang, tapi Ari kena ucapkan selamat tinggal. Andai panjang umur, kita jumpa lagi. Jaga diri abang baik-baik.”
Ari...

Wednesday, February 2, 2011

new n3

“Tahniah, Puan Arisa! Tahniah kerana meletakkan suami dan ayah sendiri dalam kedudukan yang paling hina. Ari tahu tak lelaki yang suka tidur dengan perempuan tu dah berubah sekarang? Ari tahu tak yang seminggu sebelum kita pergi umrah, papa dah pergi lebih awal daripada kita? Ari tahu tak yang dia dah nikah dengan Nisa? Tahu tak yang mereka bernikah di sana? Tahu tak yang Nisa dah bertudung sekarang? Kenapa? Terkejut? Tak percaya?” soalnya apabila melihat mata Ari buntang memandang ke arahnya.
“Ya! Papa dah lakukan banyak dosa dalam hidupnya selama ni, tapi dia dah berubah. Abang tahu abang jugak lakukan dosa yang sama. Hanya ALLAH yang tahu macam mana susah payahnya kami berusaha untuk bersihkan dosa yang terpalit. Bagaimana kami berdoa dan berharap ALLAH ampunkan segala dosa. Tapi, Ari tak pernah nampak semua tu. Ari tak pernah kisah dengan apa pun kecuali diri Ari sendiri saja, kan? Abang tahu Ari terluka. Ari derita dengan apa yang berlaku dulu. Abang tahu. Papa tahu. Ibu tahu. Semua orang pun tahu. Ari dah tunjukkan dengan jelas apa yang kami dah lakukan pada Ari.
Tapi, pernahkah Ari terfikir nak tahu apa yang abang rasa? Apa yang papa rasa selama ni? Pernah tak Ari beri kami peluang untuk jelaskan keadaan? Papa buat salah...Ari membisu dengan semua orang. Ari lari tak nak bercakap dengan papa sampai sekarang. Lima tahun Ari. Abang buat salah... Ari pergi macam tu jugak. Lari daripada semua orang. Sampai bila nak jadi macam ni, Ari? Sampai bila Ari nak terus lari daripada setiap orang yang buat salah dengan Ari? Sampai bila? Abang tak faham apa yang Ari nak sebenarnya. Sekejap okey. Sekejap Ari macam ni. Abang memang tak faham langsung. Ari dah 25 tahun sekarang. Belajar fikirkan perasaan orang lain sama. Belajar jangan pentingkan diri sendiri. Buka mata hati luas-luas, Ari. Ada mata yang terbuka pun belum bererti boleh melihat,” tukasnya dengan penuh panjang lebar.
“Ari? Ari dengar apa yang abang cakap ni? Ari faham apa yang abang cuba sampaikan?”
Diam. Ari langsung tidak bergerak. Langsung tidak mengangkat mukanya.
Sid menggeleng tiba-tiba. Sudahlah. Dia sudah tidak kisah lagi. Dia penat mahu membela diri. Dia penat mahu menjelaskan keadaan kalau semua usahanya itu langsung tidak dipedulikan. Cukup-cukuplah dia mencuba. Perjuangannya berakhir di sini. Dia sudah tidak kisah lagi. Sid menarik nafas panjang. Dadanya seakan mahu pecah sewaktu melafazkan kalimah ingin dikatakannya ini.
“You know what? It doesn’t matter anymore. Abang dah tak kisah lagi. Abang akan tunaikan apa yang Ari nak selama ni. Bila semua ni dah tamat... apa saja yang Ari nak, abang akan tunaikan. Kalau Ari nak bercerai sekalipun... abang tak akan menghalang lagi. Sebab abang dah...”
Pranggg... Belum sempat dia menjelaskannya, kaca tingkap dapur pecah berderai.

Tuesday, February 1, 2011

Saya mahu mencoret sesuatu..namun saya seperti kehilangan perbendaharaan kata untuk mencoret walau sepatah pon...apa yang berlaku kepada saya dan keluarga benar-benar melumpuhkan pertahanan semangat saya...tetapi saya redha...saya akur bahawa semua ini hanya pinjaman untuk kita semata-mata. Satu masa nanti, kita juga akan melalui perkara yang sama...cuma masanya sahaja kita tidak akan ketahui bila...

HATI BERGETAR RINDU aka NBF masih menunggu untuk diterbitkan..kepada pembaca yang menyokong penulisan saya selama ini...harap terus setia menanti buah tangan terbaru saya ini....Di bawah ini saya letakkan blurb HBR...blurb ini mungkin menjadi blurb yang dicetak di atas kertas atau mungkin juga tidak...tetapi kepada anda2 yang menanti HBR...ini untuk anda...(^_^) 


BLURB

Hidup itu adalah rangkaian perjuangan demi perjuangan. Maka janganlah ada yang menyerah, berputus asa dan menganggap perjuangan hidup adalah satu yang sia-sia. Tetaplah tegar meski yang lain berguguran. Tetaplah tersenyum meskipun perjuangan ini terasa pahit dan berliku.Kerana DIA tidak akan mensia-siakan perjuangan kita.

Ari ~ Bersamamu aku memahami makna bahagia. Tetapi mengenalimu juga membawa aku ke lembah derita. Sesungguhnya tiada insan yang mahu dikhianati. Lebih-lebih lagi oleh insan yang paling dipercayai.

Sid ~ Segala jerih perih yang kita lalui, semoga ada senyum di esok hari…percayalah...kita semua hanya mahu bahagia.  Percayalah bahawa...kebenaran hanya mampu dilihat oleh mata hati Dan Ari, yakinlah bahawa...ALLAH sudah memilih yang terbaik buat kita. 

Ini kisah mereka yang mencari kebahagiaan. Kisah mereka yang terbeban dengan dosa silam. Kisah mereka yang mencari keampunan. Kisah mereka yang mahu mencari jalan pulang. Kisah mereka yang harus mengerti dan memahami apa ertinya makna sebuah perjuangan.

Saturday, January 8, 2011

Terkini....


Salam...

Kepada pembaca yang mengikut perkembangan cerita NBF ini, rasanya ramai yang dah tahu bahawa NBF tidak akan menjadi NBF lagi. Tajuknya akan ditukarkan kepada tajuk yang lain. Secara dasarnya saya sudah mengetahui apa tajuk baharu NBF ini, tetapi saya di dalam proses mahu menukar ke tajuk yang lain, walaupun awalnya tajuk yang dipersetujui ini adalah idea saya juga. Aduhai....Kalau tidak dapat juga tidak mengapa. Saya sudah boleh terima. Yang lebih penting isinya, bukan?  heheheh..ayat mahu memujuk hati sendiri.
Kalau tidak ada aral, NBF akan diterbitkan sebagai Bonus untuk bulan MAC 2011, InsyaALLAH. Kalau awalnya, jadual saya adalah dibulan April, tetapi diawalkan sebulan. Saya berharap tiada apa-apa perubahan yang akan berlaku dalam masa terdekat ini. Jangan dianjakkan ke bulan yang lebih lewat sudah..heheheh.
Saya sudah tidak sabar mahu berkongsi dengan pembaca semua kisah Sid dan Ari ini. Saya harap kisah yang bakal diterbitkan ini mampu menawan hati pembaca semua...Oleh sebab mood saya agak baik...saya paparkan salah satu scene di dalam NBF ini...


Ari merenung Sid dari belakang. Dia mahu bertanya mengapa Sid mengambil masa yang begitu lama untuk berkemas. Sudah hampir sejam dia menunggu di bawah, namun Sid masih belum selesai dengan tugasnya. Dengan keberanian yang tidak berapa ada, kakinya melangkah juga ke ruang itu. Ruang yang mencatatkan episod ngeri dalam hidupnya. Pertama kali dia memasuki ruang tamu di bawah, dia melihat ruang yang cukup bersih. Langsung tiada kesan yang menunjukkan bahawa ruang itu pernah menyaksikan perjuangannya untuk terus hidup.
Tidak mahu berada di situ lebih lama, dia terus memanjat anak tangga. Hatinya begitu yakin bahawa dia akan menemui Sid di bilik ini. Dan jangkaannya tepat. Dia memerhati lagi. Seperti tadi Sid masih belum menyedari kehadirannya. Dia yakin ada sesuatu yang mengganggu perasaan Sid. Sid kelihatan begitu tegang. Sid seolah-olah sedang berusaha keras menahan marahnya. Tanpa sedar hati yang sedia terusik semakin tersentuh dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Sid itu. Dia mahu menenangkan Sid sebagaimana dirinya ditenangkan oleh lelaki ini dahulu. Abang, Ari faham. Ari tahu kenapa abang marah. Ari dah selamat. Abang tengok sendiri dengan mata abang. Ari tak apa-apa, kan? Abang tak perlu bimbangkan Ari lagi. Ari akan jaga diri Ari sendiri.
“Abang?” panggilnya perlahan. Dia tidak sanggup melihat Sid begitu. Terbeban dengan rasa bersalahnya. Dia memanggil lagi apabila Sid seakan tidak mendengar suaranya. Dan dalam sekelip mata, dia melihat Sid berubah kaku. Dia melangkah masuk ke dalam bilik namun sekali lagi suara Sid mematikan langkahnya.
“Keluar Ari. Abang tak siap lagi.”
“Abang tak...”
“Tolong Ari. Keluar sekarang!” pinta Sid terus mematikan apa yang ingin diluahkan.
“Abang?”
Sid tidak menjawab. Dia menoleh ke belakang. Menarik Ari keluar dan tanpa sepatah kata, dia terus menutup pintu. Pintu yang kini memisahkan mereka. Ari gusar memikirkan lelaki yang berada di seberang sana. Kenapa begitu sekali reaksinya?