Sunday, November 21, 2010

The Last note - confirm...

Ini adalah entri terakhir sebelum saya meletakkan titik noktah pada NBF. Tidak akan ada n3 lagi selepas ini. Ya...saya tahu sebelum ini walaupun saya pernah mengatakan bahawa n3 sebelum ini adalah yang terakhir, namun saya letakkan juga atas permintaan pembaca. Tetapi kali ini..sudah sah lagi nyata..tak akan ada n3 baru. Kepada pembaca yang mengikuti blog ini dan silent readers..terima kasih kerana sudi membaca karya saya ini. harap semuanya terhibur dan nantikan NBF dalam versi cetak...Bila? InsyaALLAH tahun depan.

“ Kak Lia bahagia dengan perkahwinan akak?” tanpa sedar Ari bertanya. Sebaik sahaja dia menyedari soalan itu yang diluahkan, dia terasa ingin menampar mulutnya sendiri. Rasanya tidak patut dia bertanyakan perkara yang cukup peribadi itu. Apa pun masalahnya dengan Sid, tidak perlulah dia mencanangkan kepada semua orang. Sebenarnya, jauh di sudut hati, dia berasa cemburu dengan pasangan suami isteri itu. Bukan sahaja cemburu terhadap Taufik dan Kak Lia. Dia juga cemburu melihat kebahagiaan  Izz dan Adni serta Jad dan Amie. Mereka kelihatan bahagia sekali. Dia dapat melihatnya dengan jelas kasih sayang yang ditunjukkan mereka. Sedangkan dia dan Sid?
Ari menggeleng. Kisah cintanya tidak boleh disamakan dengan kisah mereka ini. Mungkin mereka tidak pernah menerima dugaan sepertinya. Kalau Sid tidak melakukan apa yang dilakukannya dahulu, mungkin mereka juga mampu bahagia. Mungkin dia tidak akan berasa cemburu dengan kebahagian rumah tangga insan lain. Mungkin akan ada insan lain yang mencemburui hubungan mereka pula. Dia melihat Alia hanya tersenyum mendengar soalannya. Tidak nampak pun tanda-tanda kurang selesa atau marah akan soalannya itu.
“ Kenapa tanya akak soalan tu?” soal Alia lembut. Sudah hampir 2 jam dia menemani Ari di bilik ini. Dan hampir dua jam jugalah mereka bercerita macam-macam dan kini tiba-tiba Ari membawanya masuk ke ruang perbincangan sebegini. Ari hanya diam. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab pertanyaan itu. Perlukah diceritakan apa yang terjadi? Tidak! Dia tidak sanggup. Apa yang berlaku, adalah masalah rumahtanggga dia dengan Sid. Orang lain tidak perlu tahu.
Dan dia tidak sanggup memikirkan apa tanggapan Sid terhadapnya andai satu hari nanti, Sid mengetahui cerita ini. Dan apa pula tanggapan kak Alia pada Sid nanti. Tidak! Dia tidak sanggup. Lagipun mereka sendiri sudah saling bermaafan. Dia sendiri mengatakan bahawa dia mahu melupakan perkara silam. Jadi, kisah lalu tidak wajar ditimbulkan lagi bukan? Maruah Sid sebagai seorang lelaki...sebagai suami tidak harus diperkotak-katikkan.
“ Ari...dengar sini...akak minta maaf ya apa yang akak nak cakapkan ni. Ari boleh marah akak...atau kata akak nak penyibuk ke apa ke...akak terima, tapi sebelum tu, dengar dulu apa yang akak nak cakapkan. Boleh Ari?” Kerutan begitu jelas di dahi apabila mendengar kata-kata itu, namun dia hanya mengangguk.
“ Sid ada beritahu abang Fik yang dia ada buat something yang cukup teruk dulu. Tapi dia tak beritahu apa yang dah dia lakukan. Abang Fik pun tak tanya. Tapi apa yang akak rasa...dan abang Fik pun rasa yang sama. Sid memang cukup menderita dengan benda tu. Semalam abang Fik kata dia tengok Sid menangis masa sujud dekat Hijir Ismail. Dia sujud punya lama sampai abang Fik ingat Sid dah pitam,” terangnya dengan lembut. Ari semakin terkejut mendengarnya. Sid menangis? Sid menangis? Sid tidak pernah menangis. Dia tidak pernah melihat Sid mengalirkan air mata selama ini.
“ Ari...akak tak tahu apa yang berlaku, tapi akak tengok Sid. Akak tengok Ari. Akak perhatikan kamu berdua dan rasanya akak tahu kenapa Ari tanya akak soalan tu.” Ari diam. Dia sudah kehilangan kata-kata. Dia sudah tidak tahu mahu bercakap apa. Sudahnya dia hanya mendengar apa yang ingin diluahkan oleh wanita ini kepadanya.
“ Ari...berkahwin ni banyak cabaran dan dugaaannya. Memanglah kita rasa bahagia dapat berkahwin dengan orang yang kita sayang, tetapi sayang saja tak cukup, Ari. Bila kita memegang title suami atau isteri, kita membawa tanggungjawab yang cukup berat. Percayalah...bukannya mudah untuk memastikan rumah tangga kita kekal bahagia. Semua pasangan ada masalah masing-masing, Ari.
Apa yang Ari lihat...apa yang Ari fikir tak semuanya betul. Ya..Ari mungkin lihat kasih sayang akak dengan abang Fik. Ari mungkin sedar betapa sayangnya Izz pada Dinie. Dan Ari mungkin tahu bagaimana bertanggungjawabnya Jad terhadap Amie. Ari melihat perkara yang indah-indah sahaja. Ari melihat apa yang ingin Ari lihat. Tapi ada masanya pandangan mata juga boleh menipu, Ari. Akak bukan nak kata kami semua tak bahagia. Bukan macam tu. Tapi Ari tak tahu apa yang pernah terjadi dalam hidup kami semua. Akak, Adni, Amie..semuanya ada kisah kami sendiri. Sebelum bahagia, kami pernah...” kata-kata Alia terhenti seketika. Dia menarik nafas kerana apa yang ingin diceritakan ini turut sama membuahkan rasa kesal yang tidak pernah padam sehingga ke hari ini.
“ Akak bukan mahu membuka pekung di dada, tapi akak nak Ari faham. Akak nak beritahu Ari sesuatu. Akak pernah terpisah selama tujuh tahun dengan abang Fik. Sarah pula, walaupun dia dah berusia 11 tahun sekarang, tapi akak cuma berpeluang menjaga dia empat tahun kebelakangan ini saja. Akak rasa menyesal sangat-sangat sebab tujuh tahun itu memisahkan kami. Kami sama-sama muda. Sama-sama bertindak terburu...sampai perkahwinan yang lahir dari rasa cinta tu terputus macam tu saja. Tujuh tahun kami menyimpan rasa dendam dan marah tapi rupa-rupanya, apa yang berlaku dulu hanyalah salah sangka,” Alia terdiam.
Air mata yang mengalir di pipi disapu dengan belakang tangan. Entah mengapa tiba-tiba dia berasa sedikit emosi mengenangkan tahun-tahun yang memeritkan itu. Dan Ari pula seakan mahu pitam mendengar pengakuan tersebut. Tujuh tahun mereka terpisah. Kak Alia dan abang Taufik? Sesungguhnya dia sukar mahu percaya. Tetapi seperti yang dikatakan kepadanya, mereka ini mempunyai kisah mereka sendiri. Dia menggenggam tangan kak Alia untuk menyuntik sedikit kekuatan. Ceritalah lagi kak Alia. Ari mahu mendengarnya. Rayunya di dalam hati.

Sunday, November 14, 2010


“ Boleh saya tolong?” Rohana menoleh ke kiri. Seorang pemuda sedang tersenyum memandangnya. Dia bingkas bangun menyapu tangannya yang sedikit kotor dalam percubaannya menukar tayar kereta yang pancit. Lelaki yang baru tiba itu pantas menghulurkan sapu tangannya. Rohana sedikit was-was untuk mengambilnya. Lelaki ini tidak dikenali tetapi tiba-tiba sahaja datang mahu menghulurkan pertolongan. Sudah wajar dia berada sedikit curiga bukan?
“ Tak apa...ambil saja,” pinta lelaki berwajah jernih itu. Dengan sedikit malu-malu Rohana mencapai sapu tangan tersebut.
“ Saya cuci nanti,” katanya apabila melihat sapu tangan itu sudah bertukar warna. Lelaki itu hanya menggeleng tanda tidak mengapa.
“ Mari..saya tukarkan tayarnya,” pelawa lelaki yang baik hati itu lagi. Untuk setengah jam itu, Rohana menunggu lelaki ini menyudahkan kerjanya yang terbengkalai sebentar tadi. Dia bukannya tidak boleh menukar tayar sendiri, namun pelawaan dari lelaki ini tidak boleh ditolak begitu sahaja. Tiba-tiba dia berasa teruja kerana buat kali pertama seorang lelaki datang menegurnya. Selama ini dia hanya sendiri. Dia seperti tidak wujud di mata orang lain. Tetapi entah mengapa...dia rasa sesuatu yang lain pada lelaki ini. Apa agaknya kata teman-teman sekerja andai dia berceritakan tentang apa yang berlaku pada hari ini. Mungkin mereka cemburu. Atau mungkin mereka tidak akan mempercayai kata-katanya langsung.
“ Kerja di mana?” soal pemuda itu dengan penuh mesra.
“ HKL,” jawabnya malu-malu.
“ Eh! Dekatlah kita. Saya kerja di IJN,” balas lelaki itu ternyata ceria dengan berita yang didengarinya itu. Bibir Rohana membentuk huruf O mendengar jawapan itu. Dekat. Tempat mereka bekerja memang dekat sekali.
“ Selalu ke makan kat sini?” Rohana hanya mengangguk. Di mana lagi kakitangan Hospital Kuala Lumpur menjamu selera kalau tidak bukan di Medan Selera ini.
“ Boleh tolong ambilkan botol air dalam kereta saya tak?” pinta lelaki itu menunjukkan ke arah keretanya yang terparkir berdekatan. Rohana mengangguk senang. Dia membuka pintu di bahagian belakang. Mengambil air yang mungkin mahu digunakan lelaki itu untuk mencuci tangannya. Sebelum menutup kereta dia terlihat sesuatu yang cukup menarik minatnya.
“ Terima kasih,” lelaki itu bersuara sebaik sahaja Rohana menyerahkan botol air itu.
“ Cantik patung-patung kecil dalam kereta awak tu. Awak suka kumpul ya?” soal Rohana penuh dengan rasa ingin tahu. Lelaki itu mengangguk senang.
“ Saya memang suka kumpul buat koleksi. Lebih-lebih lagi patung berbentuk Angel.”

Monday, November 8, 2010

Ari n Sid - di Makkah

Sid berdiri di depan pintu. Dia tidak terus membukanya kerana ada sesuatu yang menyebabkan langkahnya terhenti. Di sini, di tempat dia berdiri kini, sayup-sayup dia mendengar suara Ari melagukan ayat-ayat suci Al-quran. Sid tiba-tiba terasa dirinya dihentak oleh sesuatu benda yang sungguh berat. Dahinya dirapatkan kepada dinding pintu itu. Suara gemersik Ari dihayatinya dengan penuh perasaan. Ya ALLAH...akhirnya Ari berjaya...dia segera membuka pintu bilik. Bacaan Ari terhenti. Wajahnya sedikit merah kerana tidak menyangka Sid akan mendengar bacaannya itu.
“ Bila?” hanya itu yang mampu disoal oleh lelaki itu. Ari tidak perlu bertanya apa maknanya. Dia tahu kenapa Sid bertanyakan soalan itu.
“ Bulan lepas, Ari khatam. Sebab tu Ari nak ke sini. Masa belajar Ari dah berniat, kalau Ari dah boleh baca Al-quran, Ari nak ke sini,” jelasnya sambil menutup Al-Quran itu namun Sid menghalang.
“ Baca lagi. Abang nak dengar,” pinta Sid dengan suara sedikit tersekat-sekat. Ari serba salah. Dia malu sebenarnya. Dia mahu menolak namun separuh dari jiwanya mahu menunjukkan kepada lelaki ini kejayaannya yang satu itu. Dia mahu berkongsi kegembiraan kerana akhirnya impian dan harapannya...impian dan harapan Sid selama ini tercapai juga. Dia menatap wajah Sid apabila suara lelaki itu sekali lagi mengulangi permintaannya.  Bacalah Ari. Bacalah untuk dia. Walau apa pun, Sid seharusnya tahu. Sekurang-kurangnya kau harus menunaikan permintaan lelaki pertama yang mengajar engkau selama ini.
“ Ari tak pandai baca berlagu. Setakat ikut hukum tajwid bolehlah sikit-sikit,” balasnya teragak-agak.
“ Ari...tolong baca,” pinta Sid separuh merayu. Ari membuka kembali surah As-Sajadah yang sedang dibacanya. Sid turut membuka qurannya. Ari menarik nafas dan memulakan bacaan. Semasa membaca dia dapat merasakan getaran suaranya sendiri. Bukannya apa. Dia sebenarnya gentar dengan lelaki yang sedang mendengar dan menyemak bacaannya itu. Sepanjang pembacaan, Sid langsung tidak menegur bacaannya. Malah lelaki itu duduk membelakanginya. Mungkin tidak mahu dia berasa segan dan gugup agaknya. Dan dia terus membaca dan membaca. Tamat satu surah itu, Ari berhenti dan menunggu. Menunggu dengan debaran yang penuh di dada.
“ Terima kasih abang sebab abang yang membuka pintu hati Ari untuk belajar mengaji,” Ari bersuara, sesungguhnya menghargai apa yang telah dilakukan oleh Sid dahulu.
“ Allah yang buka pintu hati Ari untuk belajar. Bukan abang.”
“ Ya..tapi ALLAH juga yang buka pintu hati abang untuk membantu Ari,” tukasnya lagi tidak mahu Sid merendah diri. Apa yang dilakukan oleh Sid itu, hanya ALLAH sahaja yang dapat membalasnya.
“ Abang...abang dah janji nak ajar Ari sampai khatam. Tapi...” kata-kata Sid terhenti di situ.
“ Abang guru Ari yang pertama. Yang ajar Ari kenal Alif Ba Ta. Yang mengajar Ari kenal huruf. Yang sabar dengan kerenah Ari yang buta Al-quran ni. Untuk itu, Ari cukup-cukup berterima kasih.” Namun Sid tidak lagi mendengarnya. Ingatannya terus terlayah kepada peristiwa itu.


****************************

“ Ari nak belajar dengan abang?” Ari kaku. Dia mendongak memandang wajah Sid untuk meminta kepastian. Namun pandangannya terasa kabur apabila air mata yang terus mengalir dipipi menganggu penglihatan. Sid menyapu lembut air matanya.
“ Ari nak belajar dengan abang?” soalnya lagi.
“ Abang bukannya pakar, tapi abang rasa abang boleh bantu Ari nak mengenal huruf. Abang boleh bantu Ari betulkan bacaan solat.”
“ Abang tak bencikan Ari?” soalnya dengan penuh rasa kejutan. Sid menggeleng. Turut sama terkejut mendengar pertanyaan itu.
“ Kenapa abang nak benci? Abang sebenarnya rasa syukur sangat-sangat sebab Ari sanggup beritahu abang semua ni,” akuinya jujur.
“ Ari malu,” akuinya lagi.
“ Beza Ari dengan abang macam langit dengan bumi. Abang yakin abang tak akan menyesal kahwin dengan Ari?”
“ Jangan fikir yang bukan-bukan Ari. Bila abang melamar Ari..abang sudah sedia atas segala-galanya. Segala buruk baik Ari, semuanya tanggungjawab abang. Ari, abang bukan lelaki yang sempurna. Abang juga ada kelemahannya. Tapi abang harap..segala kelebihan Ari dapat menutup semua kekurangan abang. Dan kelebihan abang juga dapat menutup semua kekurangan Ari.
Ari sebahagian dari hidup abang sekarang...abang tak akan biarkan Ari. Abang jadikan Ari sebagai isteri dan abang tak pernah rasa menyesal. Jangan rasa malu. Jangan rasa segan ok. Abang kagum sebenarnya sebab Ari sanggup mengakui kekurangan ni. Tak apa...kita belajar perlahan-lahan.Ok?” Ari mengangguk. Dengan rasa sayu dia menerpa ke dalam pelukan Sid. Segala beban yang ditanggung selama ini, terasa begitu ringan. Semuanya hanya kerana dia mempunyai Sid di sisi.

Friday, November 5, 2010

N3 baru

“ You’re not going anywhere,” Sid bersuara tegas seolah-olah dapat membaca apa yang sedang difikirkannya.
“ Ari tak akan ambil risiko. Dia dah tahu tempat tinggal abang. Macam mana kalau dia datang lagi lepas ni? Ari tak akan bahayakan nyawa semua orang hanya kerana Ari seorang. Biar Ari pergi,” tegasnya lagi. Dia tidak perlu mendengar kata-kata Sid lagi.
“ Yang tak faham bahasa sangat ni kenapa? Kenapa degil sangat ni?” Sid menyoal lantang. Kusut berhadapan dengan Ari bila dia begini. Kedua mereka berbalas pandangan. Marah. Tidak puas hati. Geram. Segala-galanya bercampur aduk. Masing-masing dengan ketegangan dan kedegilan yang sukar diluntur. Suara deheman kembali menyedarkan mereka pada keadaan sekeliling. Ari tergamam apabila melihat enam pasang mata sedang memandang ke arah mereka yang sedang bertengkar tak ingat dunia itu. Ya ALLAH! Macam mana boleh dia...? Macam mana mereka berdua boleh...?” Ari menggeleng perlahan-lahan. Sid tidak bersuara. Mungkin dia juga baru menyedari apa yang sedang berlaku.
“ Abang cik?” perlahan suara Zarin memanggil. Sid tidak menyahut. Dia terus sahaja meluru keluar dengan motornya. Dan tinggallah Ari menghadapi semua ini. Menghadapi keluarga yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini.
Itu yang berlaku sejam yang lalu dan kini....Puan Aishah yang sedang turun dari biliknya mengeleng perlahan.
“ Ya ALLAH...korang ni sudah-sudahlah. Merenung Ari macam tak pernah lihat orang. Along, angah, alang, kamu tak abis-habis lagi rasa terkejut ke?” sindirnya sambil melabuhkan punggung di sebelah Ari. Ketiga-tiga mereka yang ditegur merona merah. Mungkin malu apabila kelakuan mereka diperhatikan begitu sekali. Zahrah Ashikin ketawa menyedari silapnya.
“ Maaf ya Ari, kalau rasa tak selasa dengan kami ni. Bukannnya apa...rasa macam mimpi pula bila ibu telefon cakap ada orang baru dalam rumah ni. Acik pula memang berahsia betul. Agaknya kalau tak sebab perkara yang berlaku sekarang ni, memang masih rahsia agaknya,” balasnya tanpa lekang dengan senyuman. Mendengar mengenai perkara itu, air muka Ari berubah sedikit. Ya..perkara itu. Kalau tidak kerana Angel, pasti hubungannya dengan Sid tidak akan terbongkar sampai bila-bila. Zarul Shariman yang dipanggil along itu menyedari wajah Ari yang tiba-tiba muram.
“ Ari jangan risau. Ari dah jadi keluarga ni sekarang. Apa pun yang berlaku, kami akan lindungi Ari. Biar Sid dengan tugasnya. Kat sini, biar kami yang jaga Ari. Kami tak akan benarkan Angel ke apa ke dekat dengan Ari.”
Alang ataupun Zaharil Sani turut mengiakan. Dia sendiri tidak tahu mengapa Sid mendiamkan mengenai kehadiran Ari dalam hidup mereka namun dia yakin Sid ada sebabnya yang tertentu. Dan dia tidak mahu Ari berasa terasing berada di dalam kelompok mereka. Baginya, kalau Sid sudah membuat keputusan begini, selama itulah dia akan menyokong adiknya itu. Dia terkenangkan riak wajah Sid semasa mengejar Ari tadi. Dia kenal riak wajah itu. Dia tahu bahawa Sid benar-benar menyayangi wanita ini.
“ Betul cakap along tu. Welcome to the family, Ari. Tolong jangan segan-segan dengan kami,” balasnya lagi. Air mata Ari bergenang. Untuk pertama kalinya, dia benar-benar berasa bahagia dan dihargai. Mereka ini langsung tidak mengenalinya. Langsung tidak tahu apa latar belakang dan keturunannya. Namun dengan begitu mudah, mereka menerimanya ke dalam keluarga mereka. Dia sudah menjadi sebahagian daripada hidup mereka. Hanya kerana Sid. Hanya kerana Sid memperisterikannya. Mereka begitu menyayangi Sid dan oleh itu, mereka sanggup melebarkan rasa sayang itu terhadap dirinya pula. Ari benar-benar terharu. Dan rasa sebaknya semakin menjadi-jadi apabila Puan Aishah mendakapnya erat.
           
           

Wednesday, November 3, 2010

NBF XVI

Ari duduk termenung. Rasanya itu sahaja yang dilakukan semenjak dia berada di sini. Angin petang menghembus pipi. Nyaman dirasakan namun sayangkan keindahan alam tidak lagi dapat dinikmati. Dia ingin sekali menghirup udara segar di balkoni ataupun di mana sahaja asalkan bukan di sini, namun dia tahu semua itu tidak mungkin. Kedatangannya di sini tidak boleh diketahui oleh sesiapa pun. Dia langsung tidak boleh menjengukkan muka, kerana dikhuatiri ada mata yang memerhati. Lebih-lebih lagi Angel. Lalu dia terpenjara di sini.
Segala-galanya hitam dan gelap. Walaupun Dr. Izudin mengatakan bahawa kesan ini hanya sementara, namun jauh disudut hati dia tetap berasa bimbang. Bimbang seandainya nikmat penglihatannya ini ditarik buat selama-lamanya. Kenyataan itu yang menyebabkan fikiran dan hatinya menjadi semakin berkecamuk. Orang buta juga mampu hidup bahagia bukan? Menjadi buta bukan pengakhiran kepada segala-galanya. Tetapi..mampukah dia untuk menghadapi dugaan ini seumur hidupnya?  Ya ALLAH! Aku masih belum bersedia. Pulihkanlah penglihatan aku semula.
“ Jauh menung?” Ari tersentak. Kepalanya beralih ke kiri di mana datangnya suara itu. Sid sudah pulang. Entah mengapa tiba-tiba dia berasa gembira dengan kenyataan itu. Dia mahu menafikan bahawa ketiadaan Sid yang menjadi punca dia seperti hilang arah, namun bagaimana hendak dijelaskan apa yang dirasakan ketika ini? Dia kaku sesat apabila merasakan Sid melabuhkan tubuh di sebelahnya.
“ Ibu buat bubur pulut hitam hari ni. Dah makan?” Sid menyoal. Diam. Angguk tidak. Menggeleng pun tidak. Namun mangkuk separuh kosong yang berada di atas meja memberikan dia jawapan. Sid mengeluh. Kedua belah kaki dilipatkan ke atas dan dia memandang ke sisi.
“ Ari...” panggilnya perlahan.
“ Tan Sri dah tahu fasal kita,” beritahunya lagi. Tidak tergamak mahu memanggil lelaki itu papa seperti mana Ari memanggilnya. Sekelip mata, dia mendapat perhatian Ari sepenuhnya. Sepantas mana Ari menoleh ke arahnya, sepantas itu juga Ari menundukkan wajahnya semula. Dia melihat bibir Ari bergetar. Mungkin mahu meluahkan sesuatu tetapi tidak mempunyai kekuatan berbuat demikian.
“ Ari memang tak pernah beritahu pada dia selama ni? Tentang kita?”
“ Dah tak ada sebab nak beritahu,” jawab Ari tiba-tiba. Perlahan sahaja suaranya sehingga Sid terpaksa memasang telinga untuk mendengar apa yang dikatakan. Dan wajahnya berubah. Apa yang didengarinya itu dirasakan seperti asid disimbahkan ke muka. Dia tahu, Ari masih belum hilang lagi perasaan marahnya.
“ Papa marah?” soal Ari setelah hampir beberapa minit mereka mendiamkan diri. Sid menghela nafas lega. Akhirnya Ari mahu bercakap dengannya. Sangkanya, hanya dia yang terpaksa membebel sendirian.
“ Marah tak marah pun..lebam jugaklah pipi abang ni.” Sid ketawa kecil apabila melihat reaksi Ari. Ya..Ari tidak akan dapat melihat kesan yang ditinggalkan ayahnya itu.
“ Dia datang ofis abang sebab nak cari Ari,” tambahnya lalu menceritakan apa yang berlaku dipejabatnya petang tadi. Selesai bercerita dia memandang semula ke sisinya.
“ Bila...bila Ari balik sini, langsung tak jumpa dia? Tak pernah bercakap dengan dia?”
“ Telefonlah dia. Dia betul-betul bimbangkan Ari. Jangan takut. Talian telefon dalam rumah ni selamat. Telefon dia, beritahu Ari tak apa-apa,” pujuknya lagi. Ari terus diam tidak memberikan sebarang reaksi. Sid tahu, Ari sudah kembali kepada mode bisunya.
            Walau apa-apa pun, Abang lega bila semua orang dah tahu. Kita tak perlu simpan rahsia ni lagi dah,” bisiknya lagi. Suasana bertukar hening. Sayup-sayup kedengaran perbualan Zarin dan ibu di bawah. Entah apa yang mereka bualkan, dia tidak tahu. Hatinya lebih berminat untuk mengetahui apa yang sedang Ari fikirkan ketika ini. Dan jiwanya semakin berbaur dengan pelbagai perasaan apabila tiba-tiba sahaja Ari melentokkan kepala ke bahunya. Ari tidak bercakap. Tidak langsung mahu bersuara, namun air mata yang membasahi kemejanya ini menceritakan kisah dukanya sendiri.