Wednesday, November 3, 2010

NBF XVI

Ari duduk termenung. Rasanya itu sahaja yang dilakukan semenjak dia berada di sini. Angin petang menghembus pipi. Nyaman dirasakan namun sayangkan keindahan alam tidak lagi dapat dinikmati. Dia ingin sekali menghirup udara segar di balkoni ataupun di mana sahaja asalkan bukan di sini, namun dia tahu semua itu tidak mungkin. Kedatangannya di sini tidak boleh diketahui oleh sesiapa pun. Dia langsung tidak boleh menjengukkan muka, kerana dikhuatiri ada mata yang memerhati. Lebih-lebih lagi Angel. Lalu dia terpenjara di sini.
Segala-galanya hitam dan gelap. Walaupun Dr. Izudin mengatakan bahawa kesan ini hanya sementara, namun jauh disudut hati dia tetap berasa bimbang. Bimbang seandainya nikmat penglihatannya ini ditarik buat selama-lamanya. Kenyataan itu yang menyebabkan fikiran dan hatinya menjadi semakin berkecamuk. Orang buta juga mampu hidup bahagia bukan? Menjadi buta bukan pengakhiran kepada segala-galanya. Tetapi..mampukah dia untuk menghadapi dugaan ini seumur hidupnya?  Ya ALLAH! Aku masih belum bersedia. Pulihkanlah penglihatan aku semula.
“ Jauh menung?” Ari tersentak. Kepalanya beralih ke kiri di mana datangnya suara itu. Sid sudah pulang. Entah mengapa tiba-tiba dia berasa gembira dengan kenyataan itu. Dia mahu menafikan bahawa ketiadaan Sid yang menjadi punca dia seperti hilang arah, namun bagaimana hendak dijelaskan apa yang dirasakan ketika ini? Dia kaku sesat apabila merasakan Sid melabuhkan tubuh di sebelahnya.
“ Ibu buat bubur pulut hitam hari ni. Dah makan?” Sid menyoal. Diam. Angguk tidak. Menggeleng pun tidak. Namun mangkuk separuh kosong yang berada di atas meja memberikan dia jawapan. Sid mengeluh. Kedua belah kaki dilipatkan ke atas dan dia memandang ke sisi.
“ Ari...” panggilnya perlahan.
“ Tan Sri dah tahu fasal kita,” beritahunya lagi. Tidak tergamak mahu memanggil lelaki itu papa seperti mana Ari memanggilnya. Sekelip mata, dia mendapat perhatian Ari sepenuhnya. Sepantas mana Ari menoleh ke arahnya, sepantas itu juga Ari menundukkan wajahnya semula. Dia melihat bibir Ari bergetar. Mungkin mahu meluahkan sesuatu tetapi tidak mempunyai kekuatan berbuat demikian.
“ Ari memang tak pernah beritahu pada dia selama ni? Tentang kita?”
“ Dah tak ada sebab nak beritahu,” jawab Ari tiba-tiba. Perlahan sahaja suaranya sehingga Sid terpaksa memasang telinga untuk mendengar apa yang dikatakan. Dan wajahnya berubah. Apa yang didengarinya itu dirasakan seperti asid disimbahkan ke muka. Dia tahu, Ari masih belum hilang lagi perasaan marahnya.
“ Papa marah?” soal Ari setelah hampir beberapa minit mereka mendiamkan diri. Sid menghela nafas lega. Akhirnya Ari mahu bercakap dengannya. Sangkanya, hanya dia yang terpaksa membebel sendirian.
“ Marah tak marah pun..lebam jugaklah pipi abang ni.” Sid ketawa kecil apabila melihat reaksi Ari. Ya..Ari tidak akan dapat melihat kesan yang ditinggalkan ayahnya itu.
“ Dia datang ofis abang sebab nak cari Ari,” tambahnya lalu menceritakan apa yang berlaku dipejabatnya petang tadi. Selesai bercerita dia memandang semula ke sisinya.
“ Bila...bila Ari balik sini, langsung tak jumpa dia? Tak pernah bercakap dengan dia?”
“ Telefonlah dia. Dia betul-betul bimbangkan Ari. Jangan takut. Talian telefon dalam rumah ni selamat. Telefon dia, beritahu Ari tak apa-apa,” pujuknya lagi. Ari terus diam tidak memberikan sebarang reaksi. Sid tahu, Ari sudah kembali kepada mode bisunya.
            Walau apa-apa pun, Abang lega bila semua orang dah tahu. Kita tak perlu simpan rahsia ni lagi dah,” bisiknya lagi. Suasana bertukar hening. Sayup-sayup kedengaran perbualan Zarin dan ibu di bawah. Entah apa yang mereka bualkan, dia tidak tahu. Hatinya lebih berminat untuk mengetahui apa yang sedang Ari fikirkan ketika ini. Dan jiwanya semakin berbaur dengan pelbagai perasaan apabila tiba-tiba sahaja Ari melentokkan kepala ke bahunya. Ari tidak bercakap. Tidak langsung mahu bersuara, namun air mata yang membasahi kemejanya ini menceritakan kisah dukanya sendiri.


4 comments:

  1. yang ni rewind balik masa ari buta lagi...kemain manja lak dia melentok kat sid...curious ni...

    ReplyDelete
  2. hahahah...kena tahanlah akak merewind..menforward...hahahha...depa ni ala2 mcm gaduh tapi sayangnya ttp ada..itu yg payah tu..kejap on n off

    ReplyDelete
  3. hehheh...mmg betul..dalam marah2 pon dia tetap harapkan Sid...

    ReplyDelete