Monday, November 8, 2010

Ari n Sid - di Makkah

Sid berdiri di depan pintu. Dia tidak terus membukanya kerana ada sesuatu yang menyebabkan langkahnya terhenti. Di sini, di tempat dia berdiri kini, sayup-sayup dia mendengar suara Ari melagukan ayat-ayat suci Al-quran. Sid tiba-tiba terasa dirinya dihentak oleh sesuatu benda yang sungguh berat. Dahinya dirapatkan kepada dinding pintu itu. Suara gemersik Ari dihayatinya dengan penuh perasaan. Ya ALLAH...akhirnya Ari berjaya...dia segera membuka pintu bilik. Bacaan Ari terhenti. Wajahnya sedikit merah kerana tidak menyangka Sid akan mendengar bacaannya itu.
“ Bila?” hanya itu yang mampu disoal oleh lelaki itu. Ari tidak perlu bertanya apa maknanya. Dia tahu kenapa Sid bertanyakan soalan itu.
“ Bulan lepas, Ari khatam. Sebab tu Ari nak ke sini. Masa belajar Ari dah berniat, kalau Ari dah boleh baca Al-quran, Ari nak ke sini,” jelasnya sambil menutup Al-Quran itu namun Sid menghalang.
“ Baca lagi. Abang nak dengar,” pinta Sid dengan suara sedikit tersekat-sekat. Ari serba salah. Dia malu sebenarnya. Dia mahu menolak namun separuh dari jiwanya mahu menunjukkan kepada lelaki ini kejayaannya yang satu itu. Dia mahu berkongsi kegembiraan kerana akhirnya impian dan harapannya...impian dan harapan Sid selama ini tercapai juga. Dia menatap wajah Sid apabila suara lelaki itu sekali lagi mengulangi permintaannya.  Bacalah Ari. Bacalah untuk dia. Walau apa pun, Sid seharusnya tahu. Sekurang-kurangnya kau harus menunaikan permintaan lelaki pertama yang mengajar engkau selama ini.
“ Ari tak pandai baca berlagu. Setakat ikut hukum tajwid bolehlah sikit-sikit,” balasnya teragak-agak.
“ Ari...tolong baca,” pinta Sid separuh merayu. Ari membuka kembali surah As-Sajadah yang sedang dibacanya. Sid turut membuka qurannya. Ari menarik nafas dan memulakan bacaan. Semasa membaca dia dapat merasakan getaran suaranya sendiri. Bukannya apa. Dia sebenarnya gentar dengan lelaki yang sedang mendengar dan menyemak bacaannya itu. Sepanjang pembacaan, Sid langsung tidak menegur bacaannya. Malah lelaki itu duduk membelakanginya. Mungkin tidak mahu dia berasa segan dan gugup agaknya. Dan dia terus membaca dan membaca. Tamat satu surah itu, Ari berhenti dan menunggu. Menunggu dengan debaran yang penuh di dada.
“ Terima kasih abang sebab abang yang membuka pintu hati Ari untuk belajar mengaji,” Ari bersuara, sesungguhnya menghargai apa yang telah dilakukan oleh Sid dahulu.
“ Allah yang buka pintu hati Ari untuk belajar. Bukan abang.”
“ Ya..tapi ALLAH juga yang buka pintu hati abang untuk membantu Ari,” tukasnya lagi tidak mahu Sid merendah diri. Apa yang dilakukan oleh Sid itu, hanya ALLAH sahaja yang dapat membalasnya.
“ Abang...abang dah janji nak ajar Ari sampai khatam. Tapi...” kata-kata Sid terhenti di situ.
“ Abang guru Ari yang pertama. Yang ajar Ari kenal Alif Ba Ta. Yang mengajar Ari kenal huruf. Yang sabar dengan kerenah Ari yang buta Al-quran ni. Untuk itu, Ari cukup-cukup berterima kasih.” Namun Sid tidak lagi mendengarnya. Ingatannya terus terlayah kepada peristiwa itu.


****************************

“ Ari nak belajar dengan abang?” Ari kaku. Dia mendongak memandang wajah Sid untuk meminta kepastian. Namun pandangannya terasa kabur apabila air mata yang terus mengalir dipipi menganggu penglihatan. Sid menyapu lembut air matanya.
“ Ari nak belajar dengan abang?” soalnya lagi.
“ Abang bukannya pakar, tapi abang rasa abang boleh bantu Ari nak mengenal huruf. Abang boleh bantu Ari betulkan bacaan solat.”
“ Abang tak bencikan Ari?” soalnya dengan penuh rasa kejutan. Sid menggeleng. Turut sama terkejut mendengar pertanyaan itu.
“ Kenapa abang nak benci? Abang sebenarnya rasa syukur sangat-sangat sebab Ari sanggup beritahu abang semua ni,” akuinya jujur.
“ Ari malu,” akuinya lagi.
“ Beza Ari dengan abang macam langit dengan bumi. Abang yakin abang tak akan menyesal kahwin dengan Ari?”
“ Jangan fikir yang bukan-bukan Ari. Bila abang melamar Ari..abang sudah sedia atas segala-galanya. Segala buruk baik Ari, semuanya tanggungjawab abang. Ari, abang bukan lelaki yang sempurna. Abang juga ada kelemahannya. Tapi abang harap..segala kelebihan Ari dapat menutup semua kekurangan abang. Dan kelebihan abang juga dapat menutup semua kekurangan Ari.
Ari sebahagian dari hidup abang sekarang...abang tak akan biarkan Ari. Abang jadikan Ari sebagai isteri dan abang tak pernah rasa menyesal. Jangan rasa malu. Jangan rasa segan ok. Abang kagum sebenarnya sebab Ari sanggup mengakui kekurangan ni. Tak apa...kita belajar perlahan-lahan.Ok?” Ari mengangguk. Dengan rasa sayu dia menerpa ke dalam pelukan Sid. Segala beban yang ditanggung selama ini, terasa begitu ringan. Semuanya hanya kerana dia mempunyai Sid di sisi.

2 comments:

  1. salam..
    hai kak..
    dah habis membaca dari n3 pertama & mungkin ini n3 yng terakhir dari NBF..
    ternayata, tie dah jatuh hati pada ceritanya...x sabar nak menunggu novelnya keluar..sama hebat seperti novel2 yang sebelum ini...
    tahniah..

    ReplyDelete