Sunday, October 31, 2010

NBF ~ New Entry

“ Hajah Arisa?” seseorang memanggil namanya. Langkahnya terhenti. Dia melihat Haji Adnan Taufik memanggil namanya. Pertama kali mendengar dirinya dipanggil hajah memang membuatkan dia malu. Umrah pun belum ditunaikan, apatahlagi menunaikan haji sehingga memungkinkan dirinya dipanggil dengan gelaran seperti itu. Namun menurut kak Alia, semua jemaah walaupun sudah atau belum menunaikan haji akan dipanggil dengan gelaran seperti itu. Walaupun pada mulanya dia berasa janggal, namun akhirnya dia dapat menerimanya. Tetapi, dia juga tahu lelaki ini sudah bergelar haji yang sebenarnya. Tak sangka pula, rupa-rupanya lelaki yang sepatutnya menjadi mahramnya ini, suami kak Alia.
“ Seorang saja?” dia mengangguk. Dia cuba melihat rasa kurang senang lelaki itu apabila dia berjalan sendirian malam-malam buta begini namun riak wajah Taufik tenang saja.
“ Kak Alia balik dulu. Sarah tak tahan mengantuk,” terangnya lagi cuba membuang rasa bersalah yang mengigit tangkai hati.
“ Silalah..” Taufik mempelawanya. Ari pantas menggeleng. Walaupun dia tahu niat lelaki itu baik mahu mengiringinya pulang, namun tetap dirasakan kurang manis. Entah mengapa, dia berasakan maruah Sid perlu dijaga.
“ Tak apalah. Saya tunggu suami. Dah janji nak jumpa dia kat sini,” lancar saja mulutnya menipu. Taufik masih tersenyum.
“ Iya? Tapi Sid dah balik dah sejam lepas.” Ari rasa mahu pitam. Dia sudah tidak mahu mana hendak diletakkan mukanya ini.
“ Memang niat dia nak iktikaf malam ni tapi dia mengadu tak sihat tadi. Mungkin dia terlupa nak mesej kot,” Taufik cepat-cepat menyelamatkan keadaan apabila melihat Ari sudah tidak tentu arah apabila mendengar Sid sudah pulang ke bilik.
“ Ha’ah..mungkin dia ada mesej, tapi saya yang tak bawa handset. Lagipun pengawal kat sini leceh. Semua nak diperiksanya,” Ari membuat alasan. Bohong sunat sekali-skala tidak mengapakan? Walaupun pengawal jemaah wanita memang benar akan memeriksa setiap jemaah, kalau-kalau membawa masuk telefon ataupun kamera, namun dia tahu handsetnya diseludup di dalam poket seluarnya ini tidak akan adanya mesej daripada Sid. Taufik hanya mengangguk. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya. Entah mengapa rasa bersalahnya semakin bertimpa-timpa. Dapat dirasakan lelaki ini tahu apa yang sedang difikirkannya.
“ Kalau nak balik, marilah,” pelawa Taufik lagi. Perlahan-lahan kakinya melangkah menuruti langkah lelaki itu.






Ari tersentak dari lena yang panjang. Jam loceng yang berbunyi segera dimatikan bunyi alarmnya. Sudah pukul 3.15 pagi. Subuh akan masuk tak lama lagi. Walaupun baru sejam dapat melelapkan mata, namun itu sudah cukup baginya. Di sini, semua jemaah berlumba-lumba mahu beribadat. Kalau mahu mementingkan tidur dan rehat, lebih baik tidak perlu ke sini. Dia menoleh ke kanan dan melihat Sid masih lagi berbungkus dengan selimut. Dahinya berkerut. Selalunya Sid orang pertama yang bangun antara mereka. Namun, ketika bunyi mengaji lantang kedengaran, Sid masih tidak sedar lagi. Dia teringatkan kata-kata Taufik semalam. Sid pulang awal kerana tidak sihat. Dadanya berdegup tiba-tiba. Sid sakitkah?
“ Abang?” panggilnya perlahan. Namun tubuhnya masih kaku di tilam sendiri. Dia tidak berani melangkau sempadan antara mereka. Tiada sahutan. Dia mencuba sekali lagi dan seperti tadi, Sid langsung tidak bergerak.
“ Abang, subuh nak masuk ni. Nak pergi masjid tak?” Ari bangun menjengah Sid yang berbaring membelakanginya. Dia gelisah sendiri. Dia tidak tahu bagaimana mahu menangani keadaan seperti ini. Dia melangkah setapak. Dua tapak. Tiga tapak hingga akhirnya dia berdiri di tepi katil Sid. Dengan tangan sedikit menggigil, dia menyentuh dahi Sid. Sedikit panas. Jadi, memang betulkan kata Taufik semalam. Sid memang betul tidak sihat.
Ari diam seketika memikirkan tindakan selanjutnya. Memikirkan dia mempunyai cool fever yang dibawanya, lantas dia mendapatkan beg pakaian. Pouch bag yang penuh dengan segala bekalan ubat-ubatan dikeluarkan. Cool fever dicapai. Dengan penuh cermat dia meletakkan cool fever itu di dahi Sid. Walaupun benda sejuk itu diletakkan Sid masih tidak jaga. Ari sudah tidak tahu mahu berbuat apa. Dia memerhatikan wajah Sid. Tanpa sedar dia melabuhkan tubuh di atas katil.
“ Ari minta maaf. Kalau abang sedih dengan apa yang Ari cakap, Ari betul-betul minta maaf. Tapi...abang juga lukakan hati Ari dengan apa yang abang lakukan dengan...” kata-katanya mati. Dia menarik nafas. Tidak mahu mengingati peristiwa yang memisahkan mereka itu.
“ Ari minta maaf,” bisiknya sekali lagi sebelum berlalu ke bilik air. Sebaik sahaja Ari menutup pintu, mata Sid terbuka. Dia termenung seketika memikirkan apa yang diluahkan oleh Ari sebentar tadi. Ari tidak sedar, kerana mungkin Ari menyangkakan dia lena tidur. Tetapi, dia mendengar...segala-galanya. Ari...sampai bila kejadian itu akan terus menjadi penghalang? Apabila mendengar pintu bilik air dibuka, dia kembali menutup mata. Sekali lagi dia berpura-pura lena.


3 comments: