Monday, October 4, 2010

NBF VIII

“ Cik Arissa, saya Dr. Izzudin. Cik Arisa tahu bagaimana cik Arisa boleh jadi begini? Cik Arisa ingat apa yang berlaku?” lembut sahaja Dr. Izzuddin berbicara dengannya. Ari yang sedikit panik kembali tenang. Genggaman erat jururawat pada jemarinya ternyata membuatkan hatinya menjadi lebih lapang.
“ Saya rasa saya terlibat dalam kemalangan. Ada seseorang langgar saya dari belakang,” jelasnya cuba mengingati apa sebenarnya yang berlaku. Dr. Izzudin berpandangan dengan jururawatnya seketika. Itu rasanya bukan apa yang diceritakan oleh ASP Ziyad Sidqi kepada mereka. Namun buat masa ini, dia hanya membiarkan sahaja Ari dengan jawapannya itu.
“ Ok..biar saya terangkan apa yang berlaku ya. Cik Arisa mengalami luka yang agak dalam di bahagian kanan pelipis Cik Arisa. Luka itu juga begitu dekat dengan mata Cik Arisa,” Dr. Izzudin menjelaskan.
“ Buat masa sekarang, kedua belah mata Cik Arisa tidak dapat bertindak balas pada cahaya,” tambahnya lagi. Ari tersentap seketika.
“ Sa..saya tak faham,” soalnya dengan penuh kebimbangan. Rasa paniknya kembali mengunung. Sentuhan yang tadinya menenangkan perasaannya sudah tidak mampu berbuat demikian lagi.
“ Jangan bimbang Cik Arisa. Ia mungkin kesan sementara sahaja. Tisu yang bengkak juga antara penyebab mata Cik Arisa kurang bertindak balas dengan cahaya. Kita terpaksa menunggu dalam sehari dua untuk pastikan edema yang bengkak itu kembali surut,” terang Dr Izzudin memerhati rapat perubahan emosi yang terdapat pada wajah pesakitnya.
“ Untuk pastikan apa? Ari semakin bimbang. Suaranya juga semakin meninggi. rasa takut usah dicakap ketika ini. Tiba-tiba dia terkenangkan Sid. Entah dari mana datangnya ingatan itu, namun dia amat mengharapkan Sid berada di sampingnya ketika ini. Dr. Izzudin mengeluh perlahan.
“ Cik Arisa buta sekarang ini. Tapi, kalau saya tak silap, saya yakin bahawa kesan ini hanya sementara sahaja. Kami dapati kepala cik Arisa terhantuk dengan suatu objek yang keras. Kayu mungkin, kalau tak silap saya. Dan ia menyebabkan cik Arisa jadi begini.” Buta! Ari terpaku. Nafasnya terasa sesak tiba-tiba apabila mendengat perkataan buta itu. Tangannya menyentuh balutan yang terdapat pada matanya. Tidak!
“ Tenang Cik Arisa. Jangan panik,” pujuk Dr. Izzudin sambil menarik tangannya menjauhi balutan matanya itu. 
“ Kita ada 48 jam untuk saya selidik, menilai dan pastikan keadaan cik sama ada kekal ataupun sementara,” jelasnya lagi. Suaranya begitu lembut dan tenang. Seperti bercakap dengan budak kecil sahaja gayanya. Sementara gelengan kepala Ari bertambah laju.
“ Tidak! Saya tak boleh buta. Saya tak boleh buta. Tolonglah saya. Buatlah sesuatu agar saya boleh lihat semula. Saya tak boleh buta. Macam mana saya nak hidup kalau saya buta,” Ari mengenggam tangan jururawat tersebut. Hanya ALLAH sahaja yang tahu bagaimana takutnya dia dengan keadaan itu.
Macam mana kalau dia buta selama-lamanya? Bagaimana dia hendak menghadapi hidup ini..meneruskan kehidupan ini sendirian, sedangkan dia tidak boleh melihat lagi? Dia teringatkan ayahnya. Mak Leha, Nisa dan semua insan yang rapat dengannya satu ketika dulu. Sebutir air matanya jatuh ketika ingatannya jatuh kepada seseorang. Sid! Abang, Ari dah tak nampak,” adunya di dalam hati. Ari menekup wajah. Dia benar-benar sedih ketika ini.

No comments:

Post a Comment