Thursday, October 7, 2010

NBF X

Sid berasa sesuatu yang lain sewaktu dia melangkah masuk ke rumah. Yang pasti tv yang selalunya terpasang ketika dia pulang, hanya terdiam bisu. Suara Zarin yang selalunya riuh rendah itu juga tidak kedengaran. Dia tidak terus naik ke bilik, sebaliknya hanya melabuhkan tubuhnya di ruang tamu itu. Remote dicapai dan suasana yang sunyi sepi berubah suasana. Mendengar bunyi suara di tv, puan Aishah keluar dari dapur. Dia merenung anak lelakinya itu sebelum bersuara.
            “ Nak makan tak? Ibu panaskan lauk?” soalnya selamba. Rutin komunikasi mereka terhad kepada perkara asas sahaja. Sid sedar semenjak dua menjak ini, ibunya itu sudah hilang mesranya. Mungkin marahnya masih bersisa kerana melepaskan Ari pergi. Ya...kerana Ari, semua orang tidak mahu bercakap dengannya lagi.
            “ Kejap lagilah,” jawabnya malas. Sedikit terluka dengan sikap yang ditunjukkan oleh ibu sendiri.
            “ Yin mana? Tak balik lagi ke? Ibu pulak dari mana ni?” soalnya bertubi-tubi apabila melihat pakaian ibunya. Tudung di kepala pun masih tersarung lagi. Ke mana ibu pergi? Dan ke mana pula Zarin?
            “ Yin lepak rumah Ari sampai ahad ni. Ibu pun dari sana jugaklah tadi.” Mata Sid buntang tiba-tiba. Dia terbangun dari pembaringan. Wajah ibu yang sedang merenungnya dipandang sekilas sebelum dia melarikan mata.
            “ Dia datang sini?” soal Sid seperti tiada apa yang berlaku. Seolah-olah sudah biasa benar berita Zarin tidur di rumah Ari itu didengarinya.
            “ Ari jemput Yin kat ofis dia. Ibu bila dengar Ari telefon, terus capai kunci pergi sana sekali,” terangnya tiba-tiba mahu beramah mesra dengan si anak yang sudah berubah air mukanya. Namun wajah itu kosong tanpa riak. Sukar dia mahu membaca apa yang sedang difkirkan oleh Sid ketika itu.  
            “ Dia...sihat?” Puan Aishah hampir melompat keseronokan apabila mendengar pertanyaan yang langsung tidak diduga itu. Dia yakin Sid bukan bertanyakan khabar Zarin. Oleh kerana tidak mahu membiarkan Sid menganggapnya buang tebiat, jadi dia hanya bertenang.
            “ Kenapa tak call tanya sendiri?” Sid diam. Dia tiada jawapan untuk soalan itu.
            “ Ari sihat. Ibu tengok dia ceria je tadi. Mungkin dia dah teruskan hidup dia. Lupakan apa yang dah berlaku,” jawab Puan Aishah sambil memerhati rapat sebarang perubahan pada wajah anak lelakinya itu. Sengaja dia berkata begitu. Dan mudah-mudahan dengan maklumat baru yang diberikan akan membuatkan Sid pergi mencari Ari.    
            “ Pergilah telefon dia. Takpun terus pergi sana je,” cadang puan Aishah masih tetap dengan wajah selambanya. Sid tidak menjawab. Sebenarnya dia langsung tidak mendengar apa yang dikatakan oleh ibunya itu. Fikirannya melayang entah ke mana sebaik sahaja mendengar nama Ari dari mulut ibunya. Benarkah Ari sudah melupakan apa yang telah berlaku? Dia sukar mahu percaya, namun wajah ibunya begitu meyakinkan sekali. Entah mengapa, dadanya seperti tertusuk sembilu mendengar khabar Ari begitu ceria. Bagaimana Ari begitu ceria sedangkan dia...sedangkan dia....hendak menarik nafas sahaja pun sudah terasa sakitnya. Bagaimana Ari boleh teruskan hidup dengan ceria sedangkan dia, menderita di sini? ALLAHUAKBAR. Sid meraup wajah. Dengan langkah yang cukup lemah, dia berlalu ke bilik. Yang pasti, hatinya berasa sungguh sepi.

3 comments:

  1. sangat kesian dengan sid sekarang ni...curious nak tahu ari dah lupakan apa? kenapa ari dtg n keluar dr rumah sid...aduyai..bilalah boleh membaca naskah ini kak dhiya?haha

    ReplyDelete
  2. Yup...actually...sangat kesian pada mereka berdua ni...eheheheh...mmg banyka persoalan..akak letak langkau2 je..sebab nanti kurang unsur saspennya...

    ReplyDelete
  3. mmglah kena langkau2...takkan nak letak penuh ye dak kak...anyway..saya org first yang akan beli nanti...hehe...

    ReplyDelete