Tuesday, October 12, 2010

NBF XII

Ari duduk di atas tilam. Tubuhnya menggigil menahan amarah yang menyelubungi hatinya ketika ini. Dia tidak menyangka dia akan diperdaya seperti ini. Apabila dia bersetuju dengan permintaan Sid untuk menentukan rumah mana yang akan didudukinya, dia tidak pernah sama sekali menyangka rumah yang dimaksudkan adalah rumah Sid sendiri. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa terkejutnya tadi apabila Sid memperkenalkan dia kepada ibu dan adiknya.
Dia tidak tahu riak wajah mereka itu namun perasaannya yang hendak mengamuk ke Sid terhenti apabila tiba-tiba ibu Sid menariknya ke dalam pelukan. Dan adik Sid pula begitu selamba memanggilnya kakcik. Ari memegang dadanya yang terasa sakit tiba-tiba. Kak chik. Kak chik. Bukankah dia pernah mengimpikan gelaran itu untuknya? Tetapi Sid yang memusnahkan impiannya. Sid memusnahkan segala-galanya.
“ Ari..?” Sid memanggil dari muka pintu.
“ Pergi!” balasnya dengan kebencian yang membuak-buak. Kalaulah dia boleh melihat ketika ini. Kalaulah dia tidak buta saat ini, sudah lama dia akan meninggalkan tempat ini. Dia tidak akan tinggal buat sesaat pun.
“ Ari, rehatlah dulu. Lepas zuhur nanti, kita mula rakam keterangan Ari, ok?” balas Sid tidak mempedulikan nada Ari yang semacam itu.
“ Ari benci abang. Sampai mati pun Ari akan benci abang,” sahut Ari sambil mencampakkan begnya. Dia tidak peduli apabila mendengar bunyi benda jatuh akibat balingannya itu. Sid tidak bersuara. Dia cuma tunduk mengangkat lampu tidur yang sudah pecah berderai. Tanpa suara dia membersihkan segala kesan sehingga bersih dan tidak akan mendatang bahaya kepada Ari lagi.
“ Ari boleh bergerak bebas dalam bilik ni. Jangan takut terlanggar apa-apa sebab semua perabot abang dah tolak ke tepi. Kalau nak ke bilik air, dari tempat Ari duduk tu, Ari langkah sepuluh tapak, Ari akan sampai ke bilik air. Nanti setiap kali waktu solat, kalau bukan abang, adik atau ibu akan tolong tunjukkan arah kiblat. Kalau perlukan bantuan, Ari tekan jam ni,” jelasnya sambil menyarungkan jam yang diletakkan satu button kecemasan untuk Ari. Ari melarikan tangannya. Jam tersebut juga menerima nasib yang sama seperti begnya. Sid diam dan masih tetap tidak menegur tindakannya.
“ Abang keluar dulu. Ari rehatlah.” Sid melangkah keluar bilik. Sebelum menutup pintu dia menoleh ke belakang sekali lagi.
“ Tak apa kalau Ari bencikan abang. Kasih dan sayang abang pada Ari, cukup untuk kita berdua,” sahutnya sebelum menutup pintu.
“ Abang cik?” Zarin menegur abangnya. Dia yang hendak turun ke bawah sedikit terkejut melihat abangnya masih berdiri di luar pintu bilik Ari. Wajah abangnya begitu keruh. Dahinya pula disandarkan pada pintu bilik itu. Zarin serba salah. Dirasakan dia sedang menceroboh privasi abangnya itu. Sid tidak menjawab. Dia tidak mendengar Zarin memanggil sebenarnya. Jiwanya merusuh mengenangkan Ari yang berada di seberang sana. Tangisan Ari menusuk hati dan perasaannya. Jiwanya bertambah rawan. Kalau mahu diikutkan rasa hati, dia mahu masuk sahaja dan cuba menenangkan Ari yang kesedihan. Namun, walaubagaimana dia berharap sekalipun, dia tahu Ari tidak akan mahu dia berada di situ. Ari benar-benar membencinya. Sid melangkah memasuki biliknya di sebelah. Dia melintas di hadapan Zarin, namun dia tidak melihat adiknya di situ. Zarin memandang pintu yang tertutup rapat itu. Tidak pernah dia melihat wajah abangnya seperti ini.
“ Abang cik,” keluhnya lagi.

No comments:

Post a Comment