Wednesday, September 29, 2010

NBF VI

Hospital Kuala Lumpur
Hari ini

            “ Masih tak tahu siapa dia?” Fauzan menggeleng. Sudah empat hari wanita itu tidak sedarkan diri. Mereka tidak mempunyai cara untuk menghubungi waris wanita itu sementelah pengenalan dirinya langsung tidak ditemui. Mereka sudah menghantar pegawai untuk menyiasat di tempat kejadian, namun tiada apa-apa bukti yang dapat membantu mereka mengenal pasti wanita tersebut. Sid bangun merenggangkan tubuh. Tanpa berkata sepatah pun pada Fauzan, dia melangkah.
            “ Kau nak tengok dia?” Sid mengangguk tanpa berpaling. Fauzan tahu dia hendak ke mana. Tidak perlu dinyatakan ke mana perginya pun, Fauzan sudah tahu.





            Sid merenung wajah itu sekali lagi. Sudah empat hari berturut dia menunggu di bilik itu. Kalau keluar untuk urusan sekalipun, dia tetap akan singgah di sini. Entah mengapa, dia ingin sekali sewaktu Jane Doe ini membuka mata, dia turut sama berada di situ. Pandangannya lama singgah di wajah itu. Balutan yang menutup hampir keseluruhan wajah itu sudah mula berkurangan. Kalau sebelum itu, keseluruhan mukanya berbalut, namun ketika ini dia yakin, mungkin luka pada wajah itu sudah berkurangan.
 “ Jane....saya datang ni. Tak nak bangun lagi?” Sid senyum sendirian. Pertama kali dia berdialog dengan Jane dan didengari oleh Fauzan, separuh mati dia diketawakan. Dia tidak menyalahkan Fauzan. Mungkin memang benar agaknya seperti yang dikatakan, bahawa dia sudah terlalu memberikan tumpuan kepada Jane ini. Tumpuan yang luar biasa. Benarkah? Dia meraguinya. Tumpuannya diberikan kerana inilah satu-satunya mangsa yang masih hidup. Yang dapat memberikan petunjuk kepada mereka kerana selama ini mereka tidak tahu langsung bagaimana rupa sebenar lelaki bernama Angel itu. Hendak dikatakan lelaki juga tidak kena. Mungkin juga sebenarnya Angel itu seorang perempuan. Bukan tidak pernah ada pembunuh bersiri dari kalangan perempuan.
Mary Ann Cotton yang pernah membunuh 20 orang termasuk anak-anaknya sendiri dengan menggunakan racun arsenik. Aileen Wuornos, seorang pelacur yang membunuh 7 lelaki yang didakwa cuba memperkosanya. Malah kisah Aileen ini turut difilemkan sehingga menobatkan bintang Afrika Selatan, Charlize Theron sebagai pelakon wanita terbaik Academy Award. Dan dia boleh memberi beberapa nama lagi berkenaan pembunuh bersiri di kalangan wanita. Adakah Angel itu juga wanita? Entah mengapa, nalurinya mengatakan tidak. Angel pasti seorang lelaki. Dia yakin. Sungguh-sungguh yakin.
 “ Jane...bangunlah. Saya pun baru keluar wad juga, dan saya tahu betapa bosannya duduk kat sini,” Sid bersuara lagi. Namun pesakit kegemarannya itu tetap diam tanpa reaksi. Sid turut memerhati penuh minat. Bibir mungil itu sedikit pucat.  Dia ralit seketika dan kemudian, dia tergamam. Wajahnya didekatkan ke wajah wanita itu. Dadanya bergetar kencang. Tahi lalat kecil yang berada di kiri bibir wanita itu ditenung penuh perasaan. Dia menyelak sedikit kain kasa yang berbalut pada wajah itu dan tersentak seperti dia terpegang sesuatu yang panas dan menyakitkan.
Ya ALLAH... Ya ALLAH...Ya ALLAH....laungnya berkali-kali di dalam hati. Dia kenal siapa wanita ini. Dia tahu siapa. Ya ALLAH...Sid meraup wajah. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tidak mahu percaya bahawa...dia hampir jatuh terduduk menerima kenyataan itu. Kaki yang lemah semakin dirasakan seperti jeli. Sid berpegang pada badan katil untuk menampung tubuhnya. Matanya terbelalak memerhati insan yang sedang berbaring itu.
“ Tidak! Bukan dia. Tolong kata itu bukan dia! Ya ALLAH....bukan dia...bukan dia...,” ulangnya lagi. Dia tidak mahu percaya. Dia berasa sukar untuk percaya walaupun bukti itu berada jelas di hadapan matanya. Buat pertama kalinya Sid berasa dia seperti diserang penyakit jantung. Dadanya yang sakit ditekan perlahan. Dia tahu bukan jantungnya yang bermasalah. Tetapi lebih kepada jiwanya yang masih tidak dapat menerima kenyataan itu.
            “ Sid? Sid? Kau ok ke?” Fauzan menegur apabila melihat sahabatnya seakan mahu rebah. Pantas dia menyambut tubuh sasa Sid dan didudukkan di atas sofa. Cemas dia melihat keadaan Sid sebegini. Apa yang berlaku?
            “ Kau ok tak ni? Sid? Kau kenapa ni? Cakap dengan aku,” gesa Fauzan penuh kebimbangan. Dia tidak pernah melihat Sid terganggu seperti sekarang ini.
            “ Aku kenal dia Jan. Jane Doe tu...aku kenal siapa dia.”


Imbas kembali ( 2007)
SHAH ALAM, Selangor

Ari serba salah. Sudah beberapa minit dia berdiri di pintu pagar yang sedikit terbuka, namun belum ada tanda kakinya mahu melangkah. Cuba Ari, cuba. Tidak susah bukan. Angkat kaki dan mula melangkah. Dalam hati, dia mendorong diri sendiri. Lagipun apa yang hendak ditakutkan lagi, dia hanya pulang ke rumahnya sendiri. Bukan rumah orang lain. Dan tentunya bukan rumah sesiapa. Kereta kegemaran ayahnya tiada di tempat parkir. Mungkin masih berada di tempat kerja. Mengenangkan perkara itu, Ari cepat-cepat memulakan langkah. Kalau boleh dia mahu keluar sebelum ayahnya pulang. Sesungguhnya dia tidak mahu bertembung atau berjumpa dengan lelaki itu buat masa terdekat ini.
            Pintu kayu dibukanya perlahan. Kepalanya menjenguk sedikit ke dalam. Kosong dan sunyi. Ari semakin menarik nafas lega. Dengan langkah perlahan, dia masuk ke ruang yang begitu luas dan tampak mewah. Dia meneruskan langkah sehingga ke tingkat 3, di mana biliknya berada. Namun belum sempat dia membuka pintu bilik, dia mendengar bunyi orang ketawa sambil menjerit kecil. Ari kaku di pintu bilik. Matanya pantas menerjah ke bahagian timur tingkat itu. Dia tahu dari mana bunyi itu kedengaran. Darah Ari semakin berderau. Bunyi ketawa itu kedengaran lagi. Tanpa sedar, kakinya melangkah ke arah itu. Siapa yang berada di sana? Bukankah tidak ada sesiapa pun di rumahnya ketika ini. Malah sebuah kereta pun tiada di tempat parkir yang boleh memuatkan 6 buah kereta itu.
            Langkahnya semakin laju. Cukup-cukuplah. Sudah terlalu lama dia mendiamkan diri. Sudah lama dia menjadi manusia bisu sedangkan ALLAH menganugerahkan dia bibir dan suara untuk berkata-kata. Dia ada hak ke atas apa yang terjadi. Ya...dia tidak akan mendiamkan diri lagi. Itu tekadnya, namun alangkah terkejutnya dia apabila tiba-tiba pintu bilik itu dibuka dari dalam dan dia melihat wajah insan yang menjengukkan wajah itu. Wanita yang sedang ketawa itu juga mati senyumannya. Dia menarik dan membetulkan kain selimut yang hampir-hampir terlucut dari tubuh. Ari tergamam. Lebih-lebih lagi melihat Tan Sri Zain Johari turut tidak berpakaian. Ari hampir-hampir mahu pitam. Ya ALLAH, kenapa dia berada di dalam keadaan ini sekarang? Katakan apa yang sedang dia lihat ini tidak benar. Hanya palsu semata-mata. Ari menutup mata sesaat.
            Serta-merta pandangan dialihkan kepada wanita itu. Wanita yang dua puluh lima tahun lebih muda dari umur ayahnya. Wanita yang layak dipanggil anak. Ya..dia tahu semua itu. Bagaimana dia tahu? Sesungguhnya wanita itu adalah teman baiknya sendiri.
            “ Nisa? Kau...?” hatinya bagaikan disiat-siat melihat teman begini keadaannya. Kalau mahu diikutkan hati, dia boleh rebah di situ juga, namun memikirkan segala kemungkaran ini harus ditamatkan, dia bertindak. Biarpun yang melakukan kemungkaran itu adalah sahabat dan ayah sendiri, dia tidak peduli. Tiba-tiba terasa kekuatan dihembus dan meresap kuat dalam diri. Dia memandang Nisa dengan perasaan marah. Rasa kasihan dan kekesalan yang silih berganti. Tanpa bersuara dia masuk ke bilik tidur ayahnya. Matanya seakan tidak melihat katil yang berselerak dengan pakaian tercampak ke sana sini. Dia melirik mencari pakaian Nisa. Tanpa perasaan, dia mencapai pakaian dalam dan baju Nisa.
            Selesai saja, dia keluar dan menarik Nisa turun bersamanya. Nisa memandang kekasihnya dengan rasa bimbang. Apa yang ingin dilakukan oleh Ari terhadapnya.
            “ Ari, Ari...lepaskan tangan aku ni. Lepaslah...Yang..tolong I, yang...” pintanya memohon bantuan daripada Tan Sri Zain Johari.
            “ Arisa Nur Adalia. Stop this instant!” suara garau Tan Sri Zain Johari bergema segenap ruang. Ari buat tidak tahu. Kakinya laju menuruni anak tangga. Tangannya tetap juga menarik tangan Nisa agar menuruti langkahnya. Dia tidak pernah berasa gentar. Dia sudah berhenti untuk berasa takut. Sesungguhnya, selepas hari ini dia akan menjadi Arisa yang tidak gentar untuk apa-apa sahaja.
            “ Arisa, jangan melampau.” Kali ini tangannya pula yang direngkuh ayahnya. Belum sempat Ari berbuat apa-apa, dia sudah tersungkur ke lantai. Mujurlah anak tangga itu dilapisi dengan karpet yang agak tebal, jadi kejatuhannya itu tidak terlaku teruk jika hendak dibandingkan dengan keadaan dia tersungkur begitu.
            “ Yang, you nak bunuh anak ke?” dalam kesakitan, dia menegur Nisa memarahi ayahnya. Ari hanya mencebek. Entah mengapa, dia tidak berasa terharu walaupun Nisa seakan-akan mahu membelanya dirinya. Dia tidak berasa apa-apa cuma perasaan jijik yang menghuni tangkai hati dan jiwanya kini. Nisa berlari mendapatkan Ari yang masih terlentang di lantai. Dia cuba mengangkat tubuh teman baiknya, namun Ari menolak tangannya keras.
            “ Jangan pegang aku. Jangan pegang aku dengan tangan kotor kau,” balasnya keras sambil menjauhkan diri. Namun tindakannya itu semakin mendatangkan amarah lelaki yang sedang menyaksikan kejadian itu. Tan Sri Zain Johari menerpa ke arahnya. Wajah yang putih itu sudah berubah menjadi merah padam. Dia benar-benar hangat hati dengan kelakuan anaknya ketika itu.
            “ Kurang ajar!” Dia mengangkat tangan mahu menempeleng sekali lagi namun tangan Ari menahan. Matanya terbeliak terkejut. Dia memandang Ari dengan rasa tidak percaya. Masakan...? Masakan anak ini begitu berani...?
            “ Papa yang buat maksiat, jangan kata Ari kurang ajar. Papa tidur dengan kawan baik anak papa sendiri jadi, jangan kata Ari yang kurang ajar. Bila papa sudah hilang rasa malu dan kehormatan diri, Ari berhak buat apa yang Ari akan buat. Tapi jangan sesekali kata Ari kurang ajar,” jawabnya tegas sekaligus mengunci mulut kedua-dua manusia di hadapannya ini. Dia mencampakkan pakaian Nisa.
            “ Pakai baju kau Nisa. Aku bagi masa seminit. Kalau tak, dalam keadaan bogel macam ni aku seret kau keluar. Kau jangan ingat aku tak berani buat,” ugutnya dengan suara yang semakin perlahan. Dia menjeling wajah ayahnya seketika untuk mencabar lelaki itu supaya menghalangnya. Dan untuk seketika, dia melihat sesuatu yang lain pada wajah ayahnya.
Untuk pertama kali dalam hidupnya selama 22 tahun itu, dia melihat Tan Sri Zain Johari jelas kelihatan gementar berhadapan dengannya. Ari terasa mahu ketawa. Kalau tidak mengenangkan keadaan yang sedang berlaku itu, sudah lama agaknya dia ketawa terbahak-bahak melihat riak wajah yang dipamerkan. Dunia ini memang sudah mahu kiamat agaknya.

No comments:

Post a Comment