Wednesday, September 29, 2010

NBF II

BAB 1
Seminggu kemudian

Kaki kecilnya dihayunkan dengan sepantas-pantasnya. Tubuhnya mula dirembesi manik-manik peluh. Nafasnya juga sudah semakin kasar. Bunyi-bunyi kepenatan semakin kedengaran, namun itu tidak langsung memperlahankan langkahnya. Dia terus berlari dan berlari. Beberapa meter sebelum menghampiri rumahnya, suara halusnya terbit dari kerongkong, memanggil-manggil nama ayahnya. Namun laungan itu tidak terluah apabila tiba-tiba dia tersungkur ke tanah. Debu-debu merah terserak diwajah polosnya. Dia meludah beberapa kali cuba mengeluarkan debu merah yang memasuki mulutnya.
“ Awat Ain?” tegur Pak Ali dari muka pintu. Melihat anaknya masih terkial-kial membersihkan pakaian dan wajah, dia bergerak ke luar dengan niat mahu membantu anaknya itu. Ain..Ain, selalu saja gopoh dan kelam kabut. Esok lusa sudah boleh jadi isteri orang, masih lagi dengan perangai tak senonohnya itu. Pak Ali menggeleng dalam hati. Ain panggung kepala. Dia seolah-oleh terlupa apa yang ingin dikatakan apabila jatuh tersungkur sebentar tadi. Apabila melihat wajah ayahnya dia kembali teringkatkan kembali perkara yang membuatkan dia berlari seperti mahu memasuki acara sArigan untuk sukan balapan Olimpik 2012 nanti.
“ Cepat ayah! Ikut Ain cepat!” katanya sambil menarik tangan Pak Ali. Pak Ali yang kebingungan hanya menurut saja. Sesekali dia berhenti kerana kepenatan. Ain yang sudah tidak sabar mengeluh panjang. Dia tahu ayahnya itu sudah tua dan tentu sekali tidak mampu untuk dibandingkan dengan kudratnya.
“ Awat ni Ain? Nak bawa ayah pi mana ni? Jauh lagi ka?” soalnya termengah-mengah.
“ Dak aih! Dekat ja. Nak sampai dah ni. Kat tepi gaon tu ja. Cepat sikit yah,” Ain semakin kalut. Beberapa langkah kemudian dia berhenti di tepi tempat yang dimaksudkan. Dia menunggu ayahnya tiba. Pak Ali merenung arah yang ditunjukkan anaknya. Matanya terarah ke bawah dan tersentak. 
“ Siapa tu?”
“ Ain tak tahu. Ain nampak dia masa nak petik pucuk paku. Ayah rasa dia hidup lagi ke?” soal Ain sambil cuba menuruni bukit kecil itu namun suara garau Pak Ali membantutkan hasratnya.
“ Jangan. Kita jangan buat apa-apa. Ain pergi rumah Mak Kiah. Minta dia telefon polis. Ayah tunggu kat sini. Pergi cepat!” arahnya cuba bertenang sebaik mungkin. Mendengar kata-kata itu, Ain sekali lagi memecut laju. Arahan ayahnya disemat kemas dalam hati. Walau apa pun, mereka tidak boleh bertindak sesuka hati. Pihak polis harus diberitahu mengenai kejadian ini. Sementara menunggu ketibaan pihak polis, Pak Ali mengambil keputusan untuk melihat dengan lebih dekat. Dengan penuh berhati-hati dia menuruni bukit yang sedikit curam itu. Beberapa minit kemudian dia tiba di tempat itu.
Dia melihat...merenung dan memerhati dengan teliti. Tubuh itu kaku tidak bergerak. Benar-benarkah tubuh itu sudah tidak bernyawa lagi? Tubuh yang bertelangkup itu dilihat dengan penuh serba salah. Haruskah dia cuba menyentuh tubuh itu? Atau seperti arahannya kepada Ain sebentar tadi, tunggu sahaja pihak polis datang menyiasat perkara ini? Dia jadi serba salah.
Tengah dia berkira-kira itu, telinganya menangkap suara mengerang. Pak Ali hampir melompat dek kerana terperanjat. Dia mengamati suara itu lagi. Tidak syak lagi. Suara itu datangnya dari tubuh yang bertelangkup itu. Memikirkan sudah menjadi tanggungjawabnya membantu, dia terus mengangkat tubuh itu. Terbeliak matanya melihat wajah itu.
“ To...tolong! Tolong saya!”










BAB 2

Hospital Kuala Lumpur

            “ Jangan degil, Sid! Kaki kau tak baik lagi. Kau nak tengok sampai kaki kau kena potong, baru kau nak dengar cakap aku?” tegur Fauzan apabila melihat teman sejawatnya beria-ia benar mengemas pakaiannya ke dalam beg sedangkan kakinya masih lagi belum sembuh. Doktor juga belum mengizinkan dia keluar dari wad. Jadi atas alasan apa lelaki yang bernama Ziyad Sidqi itu menjadi begitu degil?
            Sid mengeluh perlahan. Pergerakan yang begitu pantas, menjadi semakin perlahan dan langsung terhenti. Dia melabuhkan tubuh tingginya ke atas katil. Bagaimana hendak diterangkan kepada Fauzan bahawa dia tidak boleh tinggal di hospital lama-lama? Dia tidak mampu. Dalam banyak-banyak tempat, dia cukup tidak tahan dengan hospital. Hospital meresahkannya.
            “ Kaki aku ni rehat sehari dua dah ok. Kau jangan risau...aku tak apa-apa,” terangnya cuba menyedapkan hati teman.
            “ Sid, kaki kau tu bukannya terseliuh. Bukannya terkehel. Kena tembak tahu tak? Doktor dah cakap, rehatkan kaki kau...tapi macam biasa..kau memang degil. Kalau kau ni adik aku..memang aku ikat kat katil ni,” leter Fauzan sambil bercekak pinggang. Sid hanya ketawa. Dia tidak pernah mengambil hati akan kata-kata Fauzan yang kadangkala lebih pedas dari cili. Dia sudah lama mengenali Fauzan. Semenjak mereka sama-sama memasuki Akademi Polis sepuluh tahun yang lalu.
            Sedang dia ketawa itu, pintu biliknya dibuka lagi luar. Tawanya terhenti apabila matanya menjamah wajah milik Timbalan Penguasa Polis (DSP) Bakri, ketua mereka. Sid memperkemaskan kedudukannya. Kaki yang masih cedera perlahan diletakkan ke lantai. Dalam hati dia melihat rapat ke wajah ketuanya. Ada sesuatu pada wajah itu. Ada berita yang hendak disampaikannya.
            “ Seorang lagi mangsa ditemui!” tanpa berdolak-dalik, DSP Bakri memberitahu. Tubuh Sid dan Fauzan semakin tegak. Wajahnya keduanya menjadi serius. Apa yang dibicarakan sebentar tadi semakin jauh dari fikiran. Ternyata berita yang satu ini lebih menarik perhatian mereka.
            “ Angel?” soal Sid perlahan menyebut nama pembunuh bersiri yang masih kini lepas bebas. Dia menerima anggukan ketuanya. Perlahan Sid menarik nafas. Ya ALLAH! Bilakah semua ini akan berakhir. Sampai bila pembunuhan ini akan berhenti? Dia teringatkan mangsa terakhir yang ditemui mereka dua minggu lepas. Adakah secepat itu pembunuh bersiri itu menyerang.
            “ Kali ini dia cuai.” Kata-kata DSP Bakri membuatkannya bingung? Cuai? Cuai yang bagaimana?
            “ Mangsa kali ni masih hidup. Seorang petani dan anak gadisnya jumpa mangsa terdampar dalam gaung berdekatan rumah mereka.” Sid berpandangan dengan Fauzan. Mereka berbicara seketika melalui pandangan mata. Seketika kemudian, Fauzan mengangguk. Dia juga bersetuju dengan pendapat Sid. Mereka mesti mendapatkan mangsa itu sekarang. Sebelum, mangsa itu terlupa apa-apa maklumat yang penting, mereka mesti mendapatkan penjelasan mangsa itu secepat mungkin.
            “ Di mana? Biar kami pergi!” pinta Sid sambil mengangkat beg pakaiannya. Walaupun dengan kaki yang masih belum sembuh, dia tidak mahu ketinggalan untuk turut serta. Sudah banyak masa dihabiskan untuk menyiasat pembunuhan ini dan dia tidak mahu kecederaan yang dialaminya akan menghalang tugasnya.
            “ Tak payah ke mana-mana. Mangsa sudah dibawa ke hospital ini. Seluruh tingkat 5, akan dikosongkan. Taklimat lima minit lagi di depan kaunter jururawat,” terangnya lagi sambil memandang wajah Ziyad Sidqi.
            “ Awak boleh tahan Sid. Saya sepatutnya lepaskan awak untuk cuti, tapi bila dah jadi macam ni....,” DSP Bakri meminta kepastian dari anak buahnya. Dia tahu dia sudah melepaskan Sid untuk bercuti selama dua minggu sebelum kembali bertugas, tetapi dengan perkembangan terbaru ini, dia sendiri serba salah untuk meminta Sid membatalkan cutinya. Sesungguhnya dia bukan seorang ketua yang kejam. Jika Sid masih mahu meneruskan cuti, dia tidak akan menghalang.
            “ Tak apa tuan, saya tak apa-apa. Saya dah sihat dah,” balas Sid pantas memotong kata ketuanya. Entah mengapa dia dapat merasakan Fauzan mencebir bibir di belakang. Mungkin temannya itu tidak percaya akan pengakuannya.
            “ Ok...kalau macam tu, kita ke sana sekarang!”




Perkarangan Kaunter Jururawat

            “ Ok...seperti yang awak semua sedia maklum, pada hari selasa 25hb Jan 2010, seorang remaja bernama Nurul Ain bt Ali, sedang dalam perjalanan mencari pucuk paku apabila dia terjumpa mangsa yang sedang terbaring di dalam gaung. Tanpa mengetahui bahawa mangsa masih hidup, remaja berkenaan terus berlari mendapatkan ayahnya, En. Ali bin Othman. Kedua mereka mendapatkan mangsa sebelum En. Ali meminta anaknya menelefon polis.
            Mangsa tersebut dipercayai menjadi mangsa pembunuhan pembunuh bersiri yang sangat-sangat kita kehendaki ketika ini, Angel,” DSP Bakri menyampaikan taklimatnya. Dia memerhatikan sepuluh anak buahnya yang begitu khusyuk mendengar taklimat. Tidak terkecuali Sid yang seperti memikirkan sesuatu.
            “ Identiti mangsa sudah diketahui atau belum, tuan?” Sid membuka mulutnya setelah dari tadi dia mendiamkan diri. DSP Bakri menggeleng.
            “ Itulah yang akan kita siasat. Kita masih belum menerima apa-apa laporan dari ahli keluarga yang melaporkan kehilangan anggota keluarga mereka. Kita tidak boleh memberitahu pihak akhbar lagi selagi jawapan yang sebenarnya tidak kita perolehi. Siasatan harus dilakukan sepantas mungkin dan sediam mungkin. Kita tidak mahu pihak media ataupun pembunuh itu sendiri mengetahui tentang keadaan mangsa,” jelasnya lagi.
            “ Dengar sini semua, Angel harus dihentikan. Sudah 6 orang yang menjadi mangsanya pembunuhan kejamnya. Sudah 6 keluarga kehilangan anggota keluarga mereka tanpa kita ketahui sebab apa pembunuh bertindak demikian. Selagi perkara ini tidak selesai, selagi itulah kita berhutang kepada keluarga ini. Reputasi kita menjadi taruhan di sini. Kalau kita gagal, seluruh masyarakat akan mencemuh kita. Saya tidak mahu perkara itu terjadi. Saya tidak mahu Malaysia dilabelkan sebagai negara yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi dan pihak berkuasanya tidak mempunyai kemampuan membanteras jenayah.
            “ ASP Ziyad Sidqi akan menjadi investigation officer (IO) dalam kes ini. Segala laporan, saya mahu kamu semua rujuk pada IO awak. Sid...awak ambil alih,” arahnya sambil memberi isyarat kepada Sid. Sid mengangguk dan bingkas bangun. Seperti mana DSP Bakri berhadapan dengan para anggota, seperti itulah dia berbuat perkara yang serupa. Buat seketika, dia meneliti satu persatu wajah di hadapannya. Dan untuk setengah jam kemudian, dia memberikan taklimatnya.
           
           










No comments:

Post a Comment