Wednesday, September 29, 2010

NBF III

BAB 4
Wad Anggerik, A1

            Sid berjalan dengan perlahan-lahan. Di samping tidak mahu mengejutkan mangsa yang masih tidak sedarkan diri itu, kakinya juga menghalang dia berjalan dengan normal. Ya..kesan tembakan yang terkena pada betisnya itu sudah bertambah pulih namun sekali skala rasa nyilu itu datang menghantuinya. Lebih-lebih lagi apabila dia tidak merehatkan kakinya itu, sama seperti sekarang.
            Dia mengangguk pada dua orang pegawai polis yang duduk berkawal di kiri kanan pintu masuk ke bilik mangsa berkenaan. Mereka turut membalas dengan reaksi yang serupa. Tidak perlu dia memperkenalkan diri walaupun dia tidak begitu mengenali pengawal yang bertugas itu. Mulai hari ini...detik ini..di saat taklimat itu selesai, dia mempunyai all access untuk berada di tingkat itu. Dan tidak ramai pegawai sebenarnya yang dibenarkan untuk berada di situ. Sebelum membuka pintu, dia berhenti menarik nafas. Dikosongkan fikirannya seketika. Kalau memang benarlah ini mangsanya Angel, dia tahu apa rupa yang akan ditemuinya. Dia tahu tahap kecederaan yang dialami oleh mangsa.
            Dengan penuh berhati-hati, dia membuka pintu. Matanya melingas memandang keseluruhan bilik dan tiba-tiba matanya terpaku menatap tubuh yang terbujur atas katil di tengah bilik. Bunyi mesin jangka hayat memenuhi ruang yang sepi itu. Sid melangkah dan berhenti di hujung katil. Wajah yang begitu asing itu direnung seketika dengan rasa simpati. Wajah yang 70% dilitupi kain dan bandage itu ditatap dengan penuh rasa hiba.
            Dia menghampiri wajah yang masih tidak diketahui identitinya. Maklumat yang didapatinya begitu terhad. Bangsa; Melayu. Umur; lingkungan 24-27 tahun. Tinggi; 5 kaki 9 inci. Warna mata; coklat. Rambut; hitam. Nama; tidak diketahui. Dengan penuh cermat dia tunduk dan berbisik perlahan ke telinga wanita itu.
            “ Walau siapa pun awak, awak kena sedar. Awak dengar tak?  Awak tak perlu takut lagi. Dia tak ada di sini. Awak tahukan? Pembunuh tu tak akan berjaya datang dekat pada awak lagi. Saya janji, saya akan jaga awak. Awak wira saya, tahu tak? Sedarlah...jangan bimbang...saya ada di sini...saya akan jaga awak...sedarlah...,” ucapnya pada wanita tidak bernama itu. Dia menunggu sesaat dua, mengharap agar wanita ini mendengar bisikannya namun hampa. Wanita itu berterusan mendiamkan diri. Hanya turun naik dadanya yang begitu perlahan menandakan dia masih bernyawa.
            “ Sid?” Fauzan memanggil perlahan. Dia segera berpaling. Dia melihat pertanyaan pada wajah Fauzan, dan dia hanya menggeleng. Dia mendapatkan Fauzan yang hanya berdiri di muka pintu. Sid meraup wajah.
            “ Kita kena usaha, Jan. Kita kena lipat gandakan usaha. Cukuplah ini yang terakhir. Kita tak boleh biar Angel berleluasa lagi. Apa pun yang berlaku, kita kena hentikan dia,” tekadnya yang tiba-tiba begitu bersemangat sekali.
Sid tidak tahu mengapa tiba-tiba dirinya dihembus semangat dan kekuatan. Mungkin dengan kehadiran wanita itu yang menjadikan dia begitu. Mungkin wanita yang masih bernafas itu memberikan gambaran yang cukup jelas buatnya. Wanita ini masih hidup. Wanita ini masih mampu bertahan. Wanita ini masih mampu bernafas walaupun enam wanita sebelumnya tidak bernasib baik. Ya! Dia mesti berusaha. Dia mesti melakukan apa yang daya. Wanita ini bertarung dengan ajalnya dan dia menang. Sekarang menjadi tugasnya pula memastikan keselamatan wanita itu.
           
Seksyen 13, Shah Alam

            Sid menutup pintu seperlahan mungkin. Dia tidak mahu ada yang menyedari kehadirannya di situ. Dengan langkah yang hampir tidak berbunyi, dia berjengket mendaki anak tangga. Dahinya berkerut tiba-tiba apabila kaki kirinya terasa ngilu. Dia berhenti seketika dan melabuhkan punggung di atas tangga. Kaki yang sakit itu diurut perlahan. Ya ALLAH....sembuhkan aku. Sihatkan aku dengan cepat Ya ALLAH...aku perlukan kesihatan yang kuat untuk menyelesaikan kes ini. Ya ALLAH...jangan biarkan kecederaan ini menghalang tugas dan tanggungjawab aku. Doanya dalam hati.
            “ Kenapa duduk atas tangga ni?” Satu suara menegurnya. Sid memejamkan mata seketika. Aduhai....ibu sudah jaga. Akan panjanglah leterannya kalau dia tahu apa yang sedang berlaku.
            “ Bila balik? Siapa hantarkan?” soal Puan Aishah apabila melihat wajah anak bongsu lelakinya itu seperti orang kalah judi sahaja. Dia mengajak anaknya ke ruang tamu. Sid hanya menurut. Tengah-tengah sakit ni, dia tidak berani membantah cakap ibunya. Kalau tak kena gaya, ada yang kena dengar khutbah pukul 2 pagi ni tak fasal-fasal. Lagipun, tak baik derhaka pada ibu. Tak cium bau syurga. Jadi, walaupun rasa tubuhnya seakan mahu tertiarap di atas lantai, dia turutkan juga.
            “ Jan. Baru kejap ni bang chik sampai,” jawabnya apabila melihat ibunya masih menanti jawapan.
            “ Kereta?” soal Puan Aishah lagi seperti seorang Drill sargent sahaja lagaknya.
            “ Kat balai lagi,” jawabnya lagi. Alahai bonda, dengan kaki hampir capik ni, macam mana anakanda nak bawa kereta? Mujurlah Fauzan bermurah hati mahu menghantar dia pulang. Kalau tidak, memang tidur hospital lagilah dia jawabnya. Dengan keluhan, tubuhnya dilabuhkan ke sofa. Kaki diangkat dan diletakkan di atas meja. Tanpa sedar, keluhan terbit dari bibirnya. Dia sudah terlalu letih. Dia hanya mahu melelapkan mata tetapi nampaknya kenikmatan yang satu itu langsung tidak mahu dipenuhi ibunya.
            “ Dapat sambung cuti tak ni?” Puan Aishah bertanya perlahan apabila melihat mata anaknya semakin terpejam. Entah mengapa, tiba-tiba naluri keibuannya berasa belas. Anak ini, suka sangat meresahkan hati dan jiwanya. Bekerja macam tidak menunggu hari esok. Ini...sudah cedera begini pun masih bertungkus-lumus lagi. Dia teringat lebih dua bulan lalu, apabila Sid cedera ditembak dalam satu kes penculikan dan rompakan bank. Apabila mendengar khabar dari majikan anaknya, dia sudah mahu pengsan. Perkara yang ditakutinya berlaku juga. Namun mujurlah cedera Sid tidak parah. Sungguhpun begitu, berbulan jugalah dia berulang alik ke hospital menunggu di sana. Menanti Sid benar-benar sembuh.
            Sid menggeleng. Kalau diberi cuti tambahan pun dia sendiri tidak mahu. Dia sudah bosan dilayan seperti pesakit. Dia rasa kalau dia tidak dilepaskan keluar oleh doktor pagi tadi, rasanya dia sendiri yang akan melarikan diri dari hospital itu. Tinggal lama-lama di wad sendirian, hampir membuatkan dia gila. Dia tidak betah begitu. Dia jadi gelisah dan tidak tentu arah  Dia perlu lakukan sesuatu. Dia perlukan aksi. Dia perlukan kes yang mampu mengalirkan rasa keterujaannya ini. Dan kes pembunuh bersiri bernama Angel itulah tidak akan dilepaskan sama sekali. Walaupun dia terpaksa disorong atas kerusi roda, dia tetap ingin turut serta.
            “ Abang tak kesian langsung pada ibu? Kenapa suka buat ibu risau?” Puan Aishah mengubah taktiknya. Kalau dia bercakap dengan nada yang garang, Sid akan terus membisu. Suaranya tidak akan keluar langsung. Tetapi kalau dia menggunakan strategi seperti ini dia tahu, Sid jarang menolak apa sahaja permintaannya.
            “ Abang chik kan dah balik ni? Ibu janganlah risau tak tentu hala. Abang chik tak apa-apa,” pujuknya sambil memeluk bahu Puan Aishah. Pipi tua ibunya pula mencari sasaran. Puan Aishah menampar paha Sid sambil ketawa. Sid walaupun bukan anaknya yang bongsu, tetapi kadangkala manjanya mengalahkan Zarin, anak bongsu perempuannya.
            “ Dah makan?” soalnya sambil mengusap rambut Sid apabila anak itu selamba sahaja berbaring di atas pahanya. Ini mesti ada sesuatu yang dimahukannya. Sid mengangguk. Sebelum balik tadi, dia dengan Fauzan singgah makan dahulu. Dia tidak mahu menyusahkan ibunya untuk menyediakan makanan pada waktu yang sepatutnya diperuntukkan untuk tidur ini.
            “ Esok, abang chik kena masuk kerja dah,” terang Sid perlahan. Dia menunggu ibunya memahami apa yang dikatakannya itu dan dia sudah bersedia untuk mendengar leteran namun ibunya hanya diam. Sid membuka matanya kembali. Dia bertambah terkejut apabila melihat air mata ibunya mengalir. Dia segera bangun. Jiwanya merusuh kerana tindakannya menyebabkan air mata di ibu jatuh. Dia cuba mengingati kembali apa yang telah dikatakan sehingga membuatkan perasaan ibu terkelar seperti ini. Ya ALLAH...ampunkan dosa aku. Tidak pernah terniat langsung untuk aku menderhaka pada ibu.
            “ Ibu tak marah,” jelas Puan Aishah apabila melihat kekalutan pada wajah anaknya. Tidak marah? Kalau tidak marah kenapa begini sekali reaksinya?
            “ Kamu bahagia, Sid?” Sid terpaku. Soalan yang tiba-tiba itu ternyata seperti mencampakkan dirinya ke dalam gaung yang cukup dalam. Pertama, persoalan yang diutarakan. Kenapa ibu bertanya sama ada dia bahagia? Dan kedua...sudah bertahun-tahun dia tidak pernah mendengar ibunya memanggilnya dengan namanya sendiri. Selalunya abang atau abang chik. Bukan Sid. Tidak pernah Sid. Hanya teman-teman memang memanggilnya Sid. Tetapi bukan Ibu. Jadi kenapakah? Matanya kembali terarah kepada wanita yang paling disayanginya itu.
            “ Kenapa ibu?”
            “ Ada sesuatukah yang berlaku bila abang sambung belajar dulu? Sesuatu yang abang tak pernah cakapkan pada ibu?” soalnya cuba mengajak Sid menjengah kembali kenangan 3 tahun yang lalu. Sid hanya ketawa menutup perasaannya. Dia tidak tahu kenapa ibunya mahu berbicara mengenai perkara ini dan dia semakin tidak faham kenapa ibunya merasakan dia menyimpan sesuatu. Dari mana ibunya tahu. Atau adakah naluri seorang ibu yang membaca bahagia deritanya anak yang ditatangnya dari kecil sehingga besar begini?
            “ Betulkan? Ibu tak rasa ibu silap. Ibu yakin, abang tahu apa yang ibu cakapkan ni,” tambahnya lagi. Sid mencapai tangan ibunya. Dikucup lembut sebelum matanya kembali bertaut pada wanita itu.
            “ Setahunya abang sorang je polis dalam rumah ni. Ibu pun nak jadi penyiasat jugak?” Dia ketawa. Ketawa yang dibuat-buat tetapi sungguh cemerlang bunyinya. Kalau dengan orang lain, ya mungkin boleh dia menyembunyikan perasaan. Membiarkan riak wajahnya kosong tetapi tidak dengan ibunya ini. Puan Aishah mengeluh. Dia tahu Sid cuba mengelak soalannya. Dia tidak mahu memaksa. Dia tidak mahu terlalu menekan anak itu. entah apa gilanya dia memilih malam itu untuk bertanya. Kenapa pada hari pertama Sid kembali ke rumah ini setelah dua bulan menjadi penghuni hospital? Ya...dia sepatutnya membiarkan dahulu perkara ini buat sementara. Sampai masanya nanti, dia akan menggunakan kuasanya sebagai seorang ibu untuk membuatkan Sid berterus-terang dengannya.
“ Esok pukul berapa pulak kena lapor diri?” Dia terus menukar topik. Melalui lirikan mata, dia nampak Sid melepaskan nafas lega. Duhai anak, sewaktu kecil segala-galanya apa yang abang lakukan, abang merujuk pada ibu. Bila terluka...bergaduh dengan abang dan kakak..bila putus cinta pertama, ibu tahu segala-galanya. Tetapi bila abang dah dewasa, kenapa abang tak perlukan ibu lagi? Kenapa mesti tanggung sendiri? Ibu ada, abang. Beri ibu peluang ubati luka hati abang? Puan Aishah melepaskan keluhan di dalam hati. dalam lima orang anaknya, inilah anak yang paling sukar sekali untuk difahami isi hatinya. Berahsianya Ziyad Sidqi ini macam orang yang mengangkat sumpah rahsia pula.
 “ Pukul tujuh setengah ada taklimat lagi,” jawabnya sambil menjeling jam di dinding. Tinggal lagi beberapa jam sahaja lagi. Wajah ibunya ditatap dengan penuh kasih.
“ Ibu marahkan abang chik lagi? Abang chik minta maaf kalau ibu terguris hati dengan abang chik,” pintanya lembut. Walau apa pun, dia tidak mahu mendatangkan kemurkaan ibu sendiri. Tidak berkat hidup. Dia tahu itu.
“ Ibu tak marah. Cuma Ibu bimbang sebab anak ibu yang sorang ni suka sangat cari benda bahaya. Lepas kena tembak pun tak serik-serik lagi. Suka betul buat ibu risau,” tempelaknya.
            “ Ibu...abang chik harap sangat ibu faham. Ini kerja dan tanggungjawab abang cik. Abang chik tak boleh lepaskan tugas macam tu saja. Abang tahu ibu risau. Abang betul-betul minta maaf sebab abang selalu runsingkan hati ibu tapi...tapi...dia selamat bu. Dia berjaya lepaskan diri. Dia hidup. Abang kena tolong dia. Abang kena pastikan keselamatan dia.” Dahi Puan Aishah berkerut. Siapa dia yang diperkatakan anaknya itu?
            “ Siapa dia tu?” Sid merah muka. Adakah dia menyebut tentang mangsa Angel di hadapan ibunya?
            “ Ibu ingat kes yang abang siasat sebelum abang cedera?” Hanya anggukan yang diterima. Dia tahu anaknya itu cukup sibuk dengan kes pembunuhan bersiri yang menjadi berita gempar di seluruh pelosok negara. Sehingga kini, apa yang dia tahu sudah enam orang menjadi mangsa pembunuhan kejam itu. Dan pembunuh itu masih bebas sehingga ke hari ini.
            “ InsyAllah kami akan dapat selesaikan kes tu ibu,” jelas Sid menutup ketelanjurannya sebentar tadi. Rasa hendak dihantuk-hantukkan kepalanya ke dinding dek begitu selambanya dia memberi maklumat sulit kepada ibunya. Bukankah sudah diberi taklimat bahawa, status mangsa itu tidak boleh didedahkan kepada sesiapa pun? Kenapa ia boleh pula....Sid menggeleng. Dia kena tidur. Dia kena rehat sekarang. Kalau tidak, entah apa lagi rahsia yang boleh dia pecahkan kepada wanita yang paling disayanginya itu.

1 comment: