Wednesday, September 29, 2010

NBF IV

BAB 5
            “ Tak masuk dulu, Jan?” laungnya apabila melihat Fauzan hanya menunggu di dalam kereta Nissan Fair Ladynya. Dari jauh dia melihat Fauzan menggeleng dan menunjukkan jam di pergelangan tangannya. Sid mengangkat tangan tanda memahami signal tersebut. Dengan sedikit gopoh dia menyarung stoking pada kaki. Dia mengerang perlahan dan mencuba sekali lagi. Namun, tiba-tiba stokingnya dirampas. Sid mengangkat wajah dan menjeling pada adiknya.
            “ Ni, orang tolong sekali je. Lepas ni jangan harap orang nak tolong lagi,” terang Zarin sambil membongkok menyarungkan stoking pada kaki abangnya. Dia yang juga sedang menunggu teman sepejabat mengambilnya tiba-tiba berasa belas melihat abangnya terkial-kial cuba memakai stoking.
            “ Eh..eh, nak tolong orang, tapi nak marah-marah...period ke apa? Sawan pagi-pagi buta ni?” tempelak Sid sambil menyuakan kaki ke muka Zarin. Zarin mengelak dan jatuh terduduk. Sid hanya ketawa melihat wajah adiknya yang berkerut. Padan muka. Buat kerja tak ikhlas, ALLAH balas sekelip mata.
            “ Bang chik ni pengotor tau. Ada ke kaki sua kat muka orang,” bising Zarin sambil membuat muka konon-kononnya loya mencium kaki abangnya. Sid yang sedar Fauzan sudah tidak sabar menanti hanya ketawa. Auta saja lebih adik bongsunya ini. Dalam rumah ini, tak ada orang yang lebih pembersih lebih daripada dia.
            “ Cepatlah! Abang Jan dah tunggu tu,” gesanya apabila melihat Zarin masih lagi berlengah-lengah. Muncung Zarin semakin panjang. Ala...kalau sebab dia, abang Fauzan tak akan marah punya. Abang Fauzan pasti sanggup menanti berapa lama pun. Zarin menahan senyum dalam hati. Mati dia kalau abangnya tahu bahawa dia selalu bermain mata dengan teman sekerja abangnya itu.
            Apabila Sid bangun dan mula melangkah, tiba-tiba dia mendengar Zarin mula menyanyi. Mulanya perlahan namun makin lama semakin kuat sehingga langkahnya terhenti dan dia berpaling ke belakang. Zarin berhenti menyanyi serta-merta. Tangannya pantas menutup mulut yang berbunyi sebentar tadi. Dan dengan selamba dia membelek-belek bunga orkid kesayangan ibu mereka seperti tiada apa-apa yang berlaku. Sid tidak berkata apa-apa. Dia hanya memandang Zarin penuh makna.
            “ Sid! Cepatlah wei...” dari dalam kereta Fauzan sudah menjerit. Sid mengangkat tangan dan mula melangkah semula. Apabila dia melabuhkan punggung ke dalam kereta, suara Zarin kedengaran lagi. Sid hanya ketawa apabila mendengar lagu SI CAPIK itu. Memang nak kena Zarin ni...tunggulah kaki aku dah baik nanti...bisiknya perlahan.
            “ Zarin tu kenapa?” soal Fauzan setelah mengerakkan keretanya. Sid hanya menggeleng. Tawanya masih belum berakhir.
            “ Entah! Biasalah dia. Hujung-hujung bulan ni sawan dia datang,” balasnya selamba.

            “ Macam mana? Kena basuh ke dengan mak kau?” soalnya lagi kerana dia kenal sangat dengan ibu teman baiknya ini. Auntie Aishah mesti bising bila mendengar cuti Sid dibekukan sementara waktu. Sid diam memikirkan semalam. Memikirkan pertanyaan maut ibunya yang menyebabkan dia tidak dapat melelapkan mata sehingga azan subuh bergema dari surau berdekatan. Fauzan juga tidak tahu. Tetapi Fauzan tidak pernah bertanya. Atau adakah Fauzan sengaja berbuat tidak tahu?
            Dude, ibu sayang aku. Mana boleh dia marah lama-lama,” Sid sengih terus menutup cerita mengenai ibunya. Buat menambah lagi rasa bersalahnya adalah.
            “ Jan...kalau kau nak pergi keja, kau bawak kereta biasa je boleh tak? Ni bawak Fairlady, tapi bila keluar, kau pakai selipar jamban je. Kau bawak kereta macam ni, orang kata kau polis makan suap,” kutuknya selamba sambil ketawa. Temannya itu memang pelik. Pernah satu malam Jan mengajaknya pergi minum dekat Restoran Bismillah. Memang bergaya habis dengan Fairladynya tu, tapi bila keluar Jan selamba sahaja berkain pelikat. Haru sungguh. Tetapi dia tahu, Jan nak pakai kereta apa pun dia mampu. Kalau dia mempunyai ayah yang bergelar jutawan seperti bapa Fauzan ini mungkin dia juga bergaya dengan kereta yang lebih hebat lagi. Tetapi yang baiknya tentang Fauzan ini, dia tidak pernah berlagak langsung. Kalau anak jutawan lain, ada ke yang sanggup makan gaji dengan kerajaan? Polis pulak tu. Sebab itulah dia boleh masuk dengan lelaki yang lebih suka dipanggil Jan ini.
            “ Zarin ada kata apa-apa tak?” Fauzan mula menjual minyak. Sid menjeling dan menunjukkan penumbuknya. Dia tahu Fauzan sudah lama hendak masuk jalan terhadap adik bongsunya itu. Dia tidak ada masalah sebenarnya kalau Fauzan betul-betul ikhlas dengan adiknya. Dia tiada halangan tetapi bukan semudah itu. Dia akan kenakan Fauzan cukup-cukup dahulu. Biar Jan mengelabah. Sid ketawa.
           




Hospital Kuala Lumpur

            Angel memerhati dari jauh. Dia tahu perempuan itu berada di tingkat 5. Sebentar tadi dia sudah bertanyakan kepada pengawal hospital itu bahawa tingkat 5 itu ditutup pada orang ramai. Apabila ditanya kenapa, pengawal itu hanya menjawab petugas mahu menjalankan penyelengaraan kerana siling roboh. Angel hanya mengangguk tanda memahami sedangkan dia yakin bahawa maklumat yang disampaikan kepadanya itu palsu. Hanya orang bodoh sahaja yang percaya akan kata-kata itu. Kalau benar mahu menjalankan penyelengaraan, kenapa ramai benar anggota polis yang berkawal? Sekalipun tidak memakai pakaian seragam, bentuk fizikal dan bahasa tubuh mereka sudah dapat dibaca.
            Dia tahu sesuatu telah berlaku apabila berita mahupun akhbar tidak membuat sebarang laporan mengenai penemuan wanita ini. Pada mulanya dia berasa hairan. Dia pergi ke tempat perempuan itu dicampakkan, dan alangkah terkejutnya dia apabila menyedari bahawa mayat perempuan itu tidak ada. Kalau polis sudah menjumpainya mengapa dirahsiakan, sedangkan sebelum ini berita penemuan keenam-enam mayat dan mangsanya dicanang seluruh pelosok negara. Namun yang ini, senyap tanpa berita. Dia berpusing mahu pergi dari situ namun tubuhnya terlanggar seseorang.
            “ Ops..maafkan saya..maafkan saya. Saya tak sengaja,” balasnya dengan suara yang sengaja diperlahankan. Lelaki yang dilanggarnya itu hampir terlentang ke belakang, namun mujurlah teman yang berada di sisinya pantas menahan. Dia melihat lelaki itu dan serta-merta pandangannya dijatuhkan ke bawah.
            “ Hati-hati sikit bro, jalan tu pandang kiri kanan sikit,” tegur Sid yang masih lagi berpaut pada Fauzan. Dia cuba memandang lelaki yang melanggarnya namun, wajahnya kelihatan tidak jelas apabila keseluruhan wajahnya dilindungi topi.
            “ Maaf!” hanya itu jawapan yang diterima sebelum lelaki itu berlalu meninggalkan mereka berdua.

No comments:

Post a Comment