Wednesday, September 29, 2010

NBF I

PROLOG

Dia melihat jam di pergelangan tangan. Sudah hampir jam satu pagi. Deretan kedai-kedai di kawasan itu kebanyakkannya sudah gelap. Selepas membayar di kedai 7 Eleven itu, dia cepat-cepat keluar dari tempat itu. Malam itu hujan turun renyai. Angin yang bertiup sejuknya sampai ke tulang hitam. Tanpa membuang masa, dia segera melangkah ke arah keretanya yang terparkir tidak jauh dari lot-lot kedai itu. hatinya mendengus tiba-tiba. Semasa datang ke mari, tiada langsung kawasan parkir yang kosong sehingga dia terpaksa memarkir ke tempat yang lebih jauh.
Kini, tidak sampai setengah jam dia di kedai serbaguna itu, kesemua kereta yang memenuhi kawasan, seakan-akan lenyap. Dari jauh, dia sudah menekan alarm kereta. Namun belum sempat dia memasuki kereta, terdengar suara jeritan yang meminta tolong. Hanya sekali dan selepas itu jeritan itu hilang. Dia memasang telinga untuk mendengar sekali lagi. Mungkin tadi dia tersalah dengar. Mungkin itu hanya lolongan si anjing dan bukannya jeritan seorang perempuan yang meminta tolong. Entah mengapa, bulu romanya meremang. Kalau bukan anjing atau manusia...jadi jeritan siapa yang didengarinya itu?
Tengah dia berkira-kira begitu, kedengaran derapan tapak kaki berlari menuju ke arahnya. Tanpa berfikir panjang, dia terus masuk ke dalam kereta dan mengunci pintu. Enjin kereta segera dihidupkan namun alangkah terkejutnya apabila tiba-tiba seorang lelaki menjenguk muka di cermin pintu keretanya. Dia menjerit ketakutan. Lelaki itu tidak berbuat apa-apa. Hanya merenungkanya dengan pandangan yang sukar ditakrifkan.  Apa yang dia tahu, renungan itu mampu membuatkan dia dilanda mimpi buruk saban malam. Mata itu...ya..mata itu begitu menankutkannya. Mereka bertatapan seketika sebelum dia menekan hon berkali-kali. Akhirnya lelaki itu berlalu dari situ.
Tanpa membuang masa, dia terus memandu pulang. Setengah jam kemudian, dia tiba di rumah. Untuk pertama kali semenjak bertemu dengan lelaki itu, barulah dia berupaya menarik nafas lega. Siapakah dia? Kenapa matanya begitu? Kenapa renungannya seperti seekor singa yang sedang memburu mangsanya. Dia meneliti bulu romanya yang masih lagi meremang. Ya ALLAH...apa yang berlaku ni?




Keesokannya harinya, dia bangun dalam keadaan lesu. Sepanjang malam dia tidak dapat melelapkan mata walau secebis itu. Lelaki itu berterusan menghantui dirinya. Dia tidak tahu mengapa pertembungan mereka semalam meninggalkan efek yang cukup kuat ke atas dirinya. Dia membuka pintu apabila terdengar bunyi sesuatu di baling di pintu rumahnya. Dia tahu apa yang dilemparkan ke dalam kawasan rumahnya setiap pagi. Dia lantas membuka pintu untuk mengambil surat khabar. Matanya terbeliak apabila membaca berita utama di dada akhbar pagi itu.

            “ ANGEL MENYERANG LAGI! Gadis 23 tahun menjadi mangsa.”
Dia terus membaca lagi. Bukan setakat tajuk utama yang menarik minatnya, tetapi lokasi kejadian yang berlaku pembunuhan tersebut. Kakinya lembut tiba-tiba sehingga terpaksa berpaut pada badan kereta miliknya. Jadi...jeritan yang didengarinya malam itu adalah benar. Adalah gadis ini yang menjerit meminta tolong semalam? Dan lelaki itu, adakah dia yang membunuhnya? Angel? Lelaki semalam adalah Angel?”

No comments:

Post a Comment