Wednesday, September 29, 2010

NBF V

Imbas kembali
Selama, Perak (1978)

“ Awak ni ke mana? Kata nak balik pukul 6. Ni dah lepas maghrib baru nampak muka awak. Awak cakap dengan saya, awak ke mana?” jerkah Jun sebaik sahaja ternampak kelibat suaminya di pintu masuk. Belum sempat suaminya menjawab, dia sudah mencampakkan sebakul pakaian di kaki suaminya.
“ Mesin basuh rosak lagi. Awak basuh baju dengan tangan malam ni,” arahnya lantas berlalu dari situ tanpa menunggu jawapan suaminya. Lelaki yang dinamakan Fazil itu hanya mengangguk. Bekul rotan itu dibawanya ke bilik air di bahagian dapur. Di situ dia melihat enak sekali isterinya menjamu selera. Sekali lagi dirinya tidak dipedulikan. Meja yang penuh dengan juadah makanan itu dipandang dengan rasa terliur. Sejak dari tengah hari tadi, dia tidak menjamah apa-apa.
“ Boleh saya makan dulu, Jun? soalnya perlahan. Junaidah yang lebih senang dipanggil Jun itu hanya menjeling tajam. Ewah-ewah. Sudahlah pulang lewat, mahu makan dulu rupanya. Jangan harap aku akan tunduk pada kehendak engkau.
“ Awak jangan nak naikkan darah saya. Sudahlah awak balik lambat. Kalau awak nak makan, awak basuh semua kain baju tu dulu,” jeritnya lagi.
“ Tapi saya lapar, Jun. Saya tak makan lagi ni. Bagi saya makan dulu, saya janji saya basuh kain malam ni juga,” rayu Fazil sambil mendekati isterinya. Langkahnya begitu perlahan dan berhati-hati. Dia tidak mahu membangkitkan kemarahan Jun malam-malam begini. Mata Jun terbeliak garang. Paha ayam yang sedang diratahnya tercampak ke meja. Tidak cukup dengan itu, semua makanan yang berada di atas meja ditolak sehingga jatuh. Suasana sedikit hingar dengan bunyi kaca yang berderai pecah.
“ Hei, jantan...kau jangan nak sakitkan hati aku tau. Bila aku suruh basuh tu, basuhlah dulu. Kenapa kau nak langgar cakap aku ni?” Fazil terdorong ke belakang apabila Jun tiba-tiba menunjal kepalanya. Nasib baiklah dia sempat bertahan. Kalau tidak mungkinkah nasibnya akan seperti pinggan mangkuk yang berkecai itu?
“ Saya minta maaf Jun. Saya tak buat lagi,” rayunya berkali-kali apabila melihat Jun seperti sudah naik hantu. Jun berhenti. Dadanya turun naik dek kepenatan. Dia merenung wajah suaminya dengan penuh benci.
“ Lepas kau basuh kain, kau kemas semua ni. Faham?” Fazil hanya mengangguk. Semenjak 6 tahun dulu, dia hanya mengangguk sahaja. Dan dia yakin..selagi dia beristerikan Jun, dia akan terus menjadi lelaki yang hanya pandai berkata iya dan mengangguk sahaja.





“ Mak marah ayah lagi ke?” kerja Fazil terhenti. Segera dia mendapatkan anak tunggalnya yang berdiri di muka pintu.
“ Eh! Mana ada mak marahkan ayah. Imad kenapa tak tidur lagi ni? Kan dah pukul 11.30 malam dah?” dia mendukung anak yang berusia 5 tahun itu dan dibawa ke bilik. Apabila Imad dibaringkan di atas tilam, dia duduk sambil menepuk-nepuk perlahan tubuh Imad dengan niat mahu menidurkan anaknya semula.
“ Imad dengar mak marah ayah tadi. Ayah...Imad ada simpan roti untuk ayah.” Imad bingkas bangun dari pembaringan. Dia menyeluk bawah bantalnya dan menghulurkan roti yang sudah kemek pada ayahnya.
“ Imad tahu ayah mesti lapar.” Air mata Fazil jatuh ke pipi. Anak yang kecil itu dibawa ke pelukan dan dia mengongoi perlahan. Kalau tidak kerana anak ini, sudah lama dia menghilangkan diri. Kalau tidak kerana Imad, agaknya sudah lama dia mati.
“ Imad, Imad sayang ayah tak?” soalnya dalam esak tangis yang cuba ditahan. Imad pantas mengangguk.
“ Imad sayangkan ayah.”

No comments:

Post a Comment